SONG, 23 Ogos: Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi berkata dua loji rawatan air baharu akan dibina di Song dan Kapit.
Menurutnya, loji rawatan air baharu Song kini masih dalam proses mencari tapak dan akan dibina dengan kapasiti 20 juta liter sehari (MLD) berbanding loji sedia ada empat MLD.
“Selain Song,satu lagi loji rawatan air baharu yang berkapasiti 50 MLD diluluskan Kerajaan Sarawak untuk dibina di Pekan Kapit. Loji yang ada di pekan Kapit sekarang berkapasiti 16.5 MLD,” katanya menerusi kenyataan selepas mengadakan lawatan kerja ke Loji Rawatan Air Song selepas menghadiri sesi taklimat dan perbincangan di Pejabat Daerah Song pada Selasa.
Julaihi berkata lagi, permintaan air di Bahagian Kapit secara keseluruhannya sekarang adalah 38.5 MLD yang kini dibekalkan air oleh lima loji rawatan air termasuk loji rawatan air di Song dan Pekan Kapit, jelasnya.
Kedua-dua loji baharu itu apabila siap kelak dijangka dapat memenuhi permintaan pelanggan domestik yang semakin meningkat dari semasa ke semasa, jelasnya.
“Keupayaan kapasiti loji-loji baharu kelak saling menampung antara satu sama lain apabila sistem grid air Bahagian Kapit siap dibina.
“Manakala paip agihan (distribution pipes ) di Bahagian Kapit sekarang adalah sepanjang 170 km,” katanya. – TVS