KUCHING, 23 Ogos: Prototaip Transit Aliran Autonomi (ART) pertama Sarawak yang dinamakan Bulan menjalani ujian percubaan pemanduan di sekitar Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.
Sesi selama dua hari ini dikendalikan oleh petugas dari Sarawak Metro serta dibantu oleh polis trafik.
Sesi ujian itu turut menarik perhatian orang awam serta pemilik kedai di sekitar Isthmus.
Perkhidmatan ART berkenaan yang dikuasakan dengan tenaga hidrogen merupakan sebahagian daripada projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).
Apabila beroperasi sepenuhnya kelak, ia akan mengubah landskap pengangkutan awam di Sarawak.
Bulan memiliki kapasiti untuk menampung sehingga 100 orang penumpang dalam satu gerabak.
Sementara itu, latihan kejuruteraan pula akan bermula pada 4 September hingga 31 Oktober melibatkan laluan di Jalan Keruing melalui Menara LCDA, Menara SEDC, Menara Sarawak Energy dan BCCK.
Orang awam dinasihat supaya merancang perjalanan dan maklumat laluan yang terlibat dengan ujian diperolehi menerusi aplikasi Waze.
Sebelum ini prototaip ART itu tiba di Terminal Senari pada 5 Ogos lalu.
Perkhidmatan ART dijadual beroperasi secara berperingkat bermula suku keempat 2025 dengan garis biru yang bermula di Rembus, Kota Samarahan ke Hikmah Exchange di pusat Bandar Raya Kuching. – TVS
Abang Johari bakal lancar latihan kejuruteraan ART September ini