LIMBANG, 23 Ogos: Penduduk di sepanjang Sungai Limbang melahirkan kebimbangan dengan empat insiden amukan buaya yang berlaku di sini.
Menurut mereka, kehilangan seorang warga emas, Sahari Mail, 66, pada Khamis lepas juga dipercayai berpunca akibat serangan reptilia itu.
Ketua Kampung Ulak, Roslan Kahar berkata, mangsa hilang ketika membubu ikan pada hari kejadian.
“Sebelum ini terdapat seorang wanita yang maut diserang buaya. Mayatnya ditemui dengan kesan kecederaan dalam kejadian beberapa tahun lepas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dilancarkan pihak berkuasa untuk mengesan Sahari di sini hari ini.
Sehubungan itu, Roslan berharap pihak berkuasa dapat bertindak segera bagi membendung ancaman buaya yang dihadapi penduduk kampungnya.
Sementara itu, Penasihat Jawantankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Ulak, Apong Tahir turut percaya kehilangan Sahari Mail disebabkan amukan ganas reptilia itu.
Jelas Apong, ia berdasarkan satu tali bubu milik Sahari yang putus dipercayai akibat ditarik oleh buaya.
“Tiga lagi bubu miliknya masih terdampar di tepi sungai.
“Kami sudah mencarinya namun sehingga sekarang belum berhasil. Sebab itu penduduk kampung percaya kehilangannya akibat serangan buaya.
“Oleh itu, kami meminta pihak kerajaan terutama Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dapat bertindak demi keselamatan orang kampung, bukan saja kampung ini tapi di seluruh Sarawak,”ujarnya.
Seorang lagi penduduk yang juga JKKK Kampung Telahak, Mansor Bakar berkata, ancaman buaya yang berlaku menyebabkan penduduk tidak tidur lena kerana bimbang keselamatan mereka.
“Saya harap pihak berkaitan dapat menangkap buaya yang dilihat semakin bertambah terutama di Sungai Limbang.
Difahamkan, mangsa kali terakhir dilihat pada pukul 8.30 pagi Khamis lepas dengan memakai baju bewarna biru dan seluar panjang berwarna coklat serta berkasut sebelum dilaporkan tidak pulang ke rumah. -TVS