BINTANGOR, 22 Ogos: Projek pemasangan paip di beberapa kawasan di Meradong melibatkan paip sepanjang 500 milimeter (mm) dari Pakan ke Jalan KJD Bintangor dan paip air 600mm dari simpang Jalan Kim San ke Jalan KJD Bintangor dijangka siap hujung tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing optimis projek berkenaan akan menyediakan saluran air bersih untuk kegunaan penduduk setempat.
“Saya dimaklumkan, bekalan air akan disalurkan dari pam penggalak baharu Bayong Sarikei dan dijangka siap pada hujung tahun ini.
“Sehubungan itu, saya berharap apabila siap sepenuhnya nanti, ia akan menambah baik saluran bekalan air di daerah Meradong,” katanya ketika menerima kunjungan Jurutera Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarikei, Chieng Ngih Wei, di sini, hari ini.
Beliau dalam pada itu menyeru pihak JBALB agar sentiasa membuat pemantauan ke atas beberapa lokasi penggalak pam bagi memastikan bekalan air mencukupi untuk disalurkan kepada penduduk di daerah itu.
Malah katanya, tindakan seperti penghantaran bantuan air ke kawasan yang terjejas perlu dilakukan segera jika berlaku masalah gangguan bekalan.
Sejurus itu, beliau juga menerima kunjungan Pengarah Institut Pendidian Guru (IPG) Kampus Rajang, Yahya Sedik selain menerima jemputan sebagai tetamu kehormat Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) yang akan berlangsung di Sibu.
Pada masa yang sama, Kuong Hiing juga menyerahkan sumbangan Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) RM3,000 kepada Kelab Belia Bintangor (KBB) bagi penganjuran Pertandingan Futsal Belia sempena Hari Malaysia pada 16 September depan.- TVS