Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Individu yang didiagnosis jangkitan pertussis atau batuk kokol perlu diisolasi atau dikuarantin bagi mengelak penyakit berkenaan merebak dalam kalangan masyarakat terutama kanak-kanak. Foto hiasan: Envato.

Pesakit batuk kokol dinasihat jalani kuarantin – Pakar

ByBernama

KUALA LUMPUR, 22 Ogos: Individu yang didiagnosis jangkitan pertussis atau batuk kokol perlu diisolasi atau dikuarantin bagi mengelak penyakit berkenaan merebak dalam kalangan masyarakat terutama kanak-kanak.

Pakar epidemiologi Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Malina Osman berkata kumpulan berisiko dijangkiti penyakit tersebut adalah kanak-kanak berusia kurang 12 tahun manakala gejala lebih teruk berlaku dalam kalangan bayi dan kanak-kanak berumur bawah lima tahun.

“Penyakit ini lebih tinggi risiko sekiranya dijangkiti dalam kalangan kanak-kanak yang belum atau tidak mengambil vaksin pertussis. Kanak-kanak yang belum divaksin (masih sihat) disyorkan tidak terdedah kepada persekitaran berisiko untuk tempoh lima hari hingga maksimum 21 hari.

“Batuk kokol ini kebiasaannya mengambil masa satu atau dua minggu (untuk muncul) selepas seseorang itu terdedah kepada punca jangkitan dan ada tiga fasa. Pada permulaan pesakit akan mengalami demam, selesema biasa berlarutan, selepas itu batuk teruk, berulang dan susah bernafas seterusnya bunyi batuk yang nyaring,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata sekiranya batuk kokol menjangkiti bayi berusia kurang setahun, bayi tidak akan mengalami batuk, namun kebiasaannya akan menunjukkan gejala kurang bermaya dan tiba-tiba menjadi biru disebabkan mengalami masalah pernafasan.

“Apa berlaku, pertussis ini ada bakteria penyebab (Bordetella pertussis) yang mengeluarkan toksin mengakibatkan kerosakan sel pada saluran pernafasan, jadi apabila berlaku jangkitan biasanya ada kahak yang ingin dikeluarkan tetapi tidak boleh disebabkan sel tersebut rosak.

“Oleh itu, badan kita akan beralih kepada batuk dan cuba keluarkan kahak dengan begitu sukar sehingga menyebabkan seseorang itu boleh muntah. Kanak-kanak pula akan mendapat apnea iaitu pernafasan tiba-tiba terhenti dan sekiranya berlaku dengan kerap boleh menyebabkan kematian,” katanya.

Beliau berkata penyakit berkenaan ditularkan melalui titis rembesan batuk dan bersin melalui udara atau kontak langsung cecair nasal (hingus), air liur atau air mata manakala toksin dikeluarkan bakteria tersebut merosakkan sel paru-paru dan menyebabkan kahak atau rembesan daripada paru-paru gagal dikeluarkan.

Sementara itu, Pakar Pengurusan Risiko Keselamatan dan Kesihatan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Madya Dr Shamsul Bahari Shamsudin berkata selain kaedah kuarantin, usaha mencegah kadar penyebaran batuk kokol adalah menerusi pendekatan bekerja dari rumah.

Beliau berkata kaedah itu perlu diadaptasi di peringkat industri apabila terdapat pekerja mengalami gejala melibatkan saluran respiratori dan demam bagi mencegah penularan penyakit tersebut terutama kepada individu mempunyai imunisasi lemah.

“Apa-apa penyakit berkaitan saluran pernafasan perlu diberi perhatian. Apabila merasakan diri tidak sihat, demam, batuk, selesema atau ada gejala seperti batuk kokol yang dinyatakan, maka elakkan diri daripada mempunyai hubungan langsung dengan individu lain,” katanya.

Menurutnya penjaga pesakit terutamanya bagi kanak-kanak yang dijangkiti perlu diberi layanan sama seperti perlu dikuarantin atau bekerja dari rumah kerana telah ada kontak secara langsung dengan pendedahan bakteria tersebut.

Beliau turut mencadangkan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengoptimumkan aplikasi MySejahtera dalam usaha berkongsikan maklumat tentang penyakit tersebut dengan rakyat.

“Perkongsian maklumat kes jangkitan semasa, risiko penularan jangkitan, kawasan berisiko, status vaksinasi pertussis serta maklumat berkaitan harus dilakukan dengan berterusan. Aktifkan semua kaedah pemantauan dan pelaksanaan SOP (prosedur operasi standard) di kawasan jangkitan,” katanya.

Pada Sabtu lepas, Jabatan Kesihatan Pahang mengesahkan satu kes jangkitan pertussis melibatkan seorang ibu serta dua anaknya di Kampung Bahagia, Rompin, dan keadaan adalah terkawal. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan