Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Lima kru warga Myanmar ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ketika menangkap ikan di kedudukan 24.7 batu nautika barat Pulau Kendi dekat sini semalam. Foto: APMM

Lima nelayan asing tangkap ikan di perairan Malaysia ditahan

GEORGETOWN, 22 Ogos: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan lima nelayan warga asing dipercayai melakukan pelbagai kesalahan pada pemeriksaan ke atas sebuah bot nelayan tempatan di 24.7 batu nautika barat Pulau Kendi dekat sini semalam.

Pemeriksaan ke atas bot kelas C itu dibuat semasa Kapal Maritim (KM) Sikuati melakukan rondaan rutin kira-kira pukul 11.30 pagi.

Sebuah bot nelayan tempatan kelas C yang digunakan nelayan warga Myanmar ditahan di kedudukan 24.7 batu nautika barat Pulau Kendi dekat sini semalam. Foto: APMM

Pemangku Pengarah Maritim Pulau Pinang, Komander Maritim Nak Rong Si Prom berkata, bot nelayan yang dilihat mencurigakan itu dikendalikan oleh lima kru termasuk tekong warga Myanmar.

Ujarnya bot berkenaan didapati tidak mempunyai permit kelulusan penggunaan kru bukan warganegara daripada Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia.

“Salah seorang daripada kru berusia antara 36 hingga 56 tahun terbabit juga gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Mereka juga didapati menangkap ikan menggunakan pukat tunda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujarnya, kesemua nelayan asing itu direman selama dua minggu bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya turut menahan sebuah bot nelayan kelas A bersama tiga kru warga tempatan di 1.78 batu nautika timur Pulau Kendi kira-kira pukul 12 tengah hari semalam kerana didapati melanggar syarat sah lesen.

“Untuk kedua-dua kes, bot dan hasil tangkapan ikan bercampur dianggarkan seberat 500 kilogram bernilai kira-kira RM15,000 telah dibawa ke Jeti Limbungan Batu Maung untuk tindakan lanjut,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan