BUKIT MERTAJAM, 22 Ogos: Seorang lelaki ditemui maut dipercayai dilanggar kereta api di kawasan landasan berdekatan Taman Sri Kijang, Machang Bubuk di sini semalam.
Mangsa tanpa identiti itu ditemui oleh orang awam yang kemudiannya menghubungi polis kira-kira pukul 8.30 malam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner (ACP) Tan Cheng San berkata, polis yang tiba di lokasi kejadian mendapati mangsa yang dianggarkan berusia 30-an itu mengalami kecederaan parah dan telah meninggal dunia.
Ujarnya, mangsa dipercayai dilanggar oleh kereta api yang berada di landasan laluan arah Bukit Mertajam ke Simpang Ampat.
“Berdasarkan siasatan awal di tempat kejadian, tiada kesan suntikan Bacillus Calmette Gurrain (BCG) ditemui pada si mati selain tiada dokumen pengenalan diri.
“Tiada unsur jenayah dikesan dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujarnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk bedah siasat.
Tambah Cheng San, orang ramai yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah SPT di talian 04-538 2222 bagi membantu pengecaman mayat.
“Saya juga ingin menasihati orang ramai agar tidak menceroboh kawasan yang dipagar atau melintas landasan kereta api kerana boleh membahayakan nyawa dan merosakkan harta benda,” katanya. – TVS