KUALA LUMPUR, 22 Ogos: Keuntungan bersih Petronas Chemicals Group Bhd (Petronas Chemicals) turun kepada RM628 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2023 daripada RM1.87 bilion pada suku yang sama tahun lepas.
Bagaimanapun, hasil meningkat lapan peratus atau RM530 juta pada RM7.11 bilion, sebahagian besarnya disebabkan oleh volum jualan yang lebih tinggi dan sumbangan hasil daripada anak syarikat yang baru diambil alih tetapi sebahagiannya diimbangi oleh harga produk lebih rendah, kata Petronas Chemicals dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Pendapatan sesaham asasnya pula menyusut kepada 8.00 sen daripada 23.00 sen sebelumnya.
Petronas Chemicals mengeluarkan, memasarkan dan menjual produk petrokimia.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Yusri Mohamed Yusof berkata Petronas Chemicals menghadapi cabaran luaran pada suku kedua 2023.
“Loji Petronas Chemicals di Labuan dan Sabah telah ditutup tanpa dirancang berikutan gangguan sementara bekalan bahan pengisian gas yang mengurangkan jumlah pengeluaran dan jualan kami. Ini menambahkan lagi tekanan pada pemampatan margin yang kami alami sejak Disember 2022 disebabkan oleh harga dan tebaran produk yang lebih rendah untuk kebanyakan produk,” katanya dalam satu kenyataan.
Kumpulan itu mengisytiharkan dividen lapan sen sesaham berjumlah RM640 juta, ia perlu dibayar pada 21 September 2023.
Mohd Yusri berkata susulan penurunan harga minyak mentah dan pemulihan permintaan China yang tidak memberangsangkan, harga purata polimer merosot kira-kira tujuh peratus suku ke suku dengan olefin dan derivatif lain turut mengalami trend yang sama.
Harga ammonia dan urea yang mengalami pembetulan harga sejak separuh kedua 2022 terus merosot hingga tahun 2023 ekoran kebimbangan terhadap lebihan bekalan.
Mengulas mengenai prospek separuh kedua 2023, beliau berkata harga produk bertambah baik dengan trend menaik dalam harga minyak mentah dan aktiviti penyimpanan semula dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
“Kami menjangka margin dijangka kekal di bawah tekanan. Petronas Chemicals masih perlu berdepan dengan kos operasi yang lebih tinggi, pertumbuhan ekonomi global yang perlahan dan peningkatan persaingan daripada kapasiti baharu yang akan datang terutamanya di China dan Amerika Syarikat.
“Beberapa loji kami dijadualkan menjalani pemulihan dan aktiviti penyelenggaraan. Oleh itu, kami menjangkakan penurunan sedikit dalam volum pengeluaran. Kami kekal fokus untuk mengekalkan kecemerlangan operasi dan komersil untuk meneruskan daya tahan kewangan kami,” katanya. -TVS