KUCHING, 22 Ogos: Datuk Bandar Kuching Utara, Datu Junaidi Reduan bersara pada 31 Ogos ini setelah empat tahun menyumbang bakti.
Junaidi yang ditemui pada Majlis Perhimpunan bersama Datuk Bandar Kuching Utara hari ini meyakini penggantinya selepas ini bakal membawa DBKU ke peringkat yang lebih tinggi.
“Saya percaya Datuk Bandar yang baharu tidak kiralah siapapun beliau, akan membawa DBKU ke peringkat yang lebih tinggi.
“Kerajaan negeri tidak memilih Datuk Bandar dengan sesuka hati, mereka akan melihat kriteria dan segala aspek yang perlu,” katanya.
Menurut Junaidi, sebarang maklumat berkenaan Datuk Bandar Kuching Utara yang baharu bagi mengambil alih tugas beliau masih belum didedahkan ketika ini.
Dalam pada itu, Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara, Mohamed Khaidir Abang merakamkan penghargaan kepada Junaidi di atas khidmat bakti dan sumbangan beliau selama ini.
“Beliau adalah seorang yang periang, mahir dalam hal kewangan dan mudah untuk berurusan dengan beliau,” katanya.
Junaidi dilantik sebagai Datuk Bandar Kuching Utara yang ketujuh pada September 2019 yang lalu menggantikan Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai. – TVS