BALINGIAN, 21 Ogos: Lebih 200 orang peserta yang terdiri daripada murid Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Balingian, ibu bapa dan masyarakat setempat bersama-sama mengimarahkan sambutan Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Peringkat Daerah Kecil Balingian menerusi acara ‘Chung Hua Balingian Fun Run’ di sini, pagi Ahad.
Majlis anjuran bersama Jabatan Penerangan Daerah Kecil Balingian dan SJK Chung Hua Balingian ini telah dirasmikan oleh Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Balingian, Dominic Ahjun.
Dalam ucapannya beliau berkata, Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan dipilih sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) bagi tahun ini yang mendasari tekad pemimpin bersama-sama rakyat bagi memastikan Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang mempunyai semangat perpaduan yang tinggi, bersatu-padu, aman dan sejahtera.
“Harapan Malaysia MADANI adalah perpaduan sebagai kunci utama bagi memastikan rakyat mengecapi segala bentuk kemajuan serta kemodenan yang berteraskan kemampanan budaya bangsa, berdaya cipta, keyakinan, kesejahteraan, hormat-menghormati dan ihsan,” ujar beliau.
Beliau menambah, dengan menjiwai tema hari kemerdekaan serta menghargai kisah-kisah bagaimana untuk mengecapi kemerdekaan itu, ia akan membolehkan rasa kecintaan kepada negara ini terus bertambah.
Beliau meminta agar semua pihak perlu berasa bangga mengibarkan Jalur Gemilang bagi menunjukkan semangat cintakan negara.
“Jalur Gemilang melambangkan kesetiaan dan kesatuan kita sebagai rakyat Malaysia. Oleh itu, marilah bersama menyemarakkan lagi kibaran Jalur Gemilang dengan memasang bendera di rumah, premis pejabat dan bangunan perniagaan,” katanya.
Antara pengisian program ialah Chung Hua Fun Run, Kuiz Kemerdekaan, Edaran Jalur Gemilang dan edaran bahan penerbitan Jabatan, Gerai Jualan dan nyanyian lagu-lagu patriotik serta Hari Terbuka SJK Chung Hua Balingian. – TVS