KUCHING, 21 Ogos: Penyediaan kawasan 108 ekar di Bukit Siol, Petra Jaya khusus bagi penanaman pokok bertujuan menyumbang ke arah usaha kerajaan mencapai status rendah karbon di bandar raya ini.
Datuk Bandar Kuching Utara, Datu Junaidi Reduan berkata Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) komited dalam menjayakan agenda Kerajaan Sarawak yang bermatlamat menyediakan persekitaran bersih dan bebas pencemaran.
“Rendah karbon adalah satu daripada agenda kerajaan untuk dicapai menjelang 2030. Jadi DBKU juga akan laksanakannya. Terdapat banyak aktiviti ke arah rendah karbon,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perjumpaan Khas Bersama Anggota Beruniform DBKU di sini, pada hari ini.
DBKU menyasarkan agar Kuching menjadi salah sebuah bandar raya yang mencatatkan rendah karbon terawal di Malaysia menjelang 2030.
Sasaran DBKU adalah untuk memastikan bandar raya ini memiliki udara bersih agar warganya dapat menjalani kehidupan yang sejahtera dan mempunyai kesihatan yang baik. – TVS