Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang dalam rangka lawatan kerja rasmi di Stockholm. Foto: UKAS

Abang Johari tiba di Stockholm untuk lawatan kerja rasmi dua hari

ByMuqri Aziz

KUCHING, 21 Ogos: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama rombongan kerajaan negeri tiba di Stockholm, Sweden pada kira-kira 9 malam, Ahad (waktu tempatan).

Beliau yang turut disertai isterinya, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berada di Sweden bagi lawatan kerja rasmi selama dua hari.

Premier Sarawak adakan lawatan kerja rasmi di Stockholm, Sweden | TVS

Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) menerusi satu kenyataan memaklumkan ketibaan Abang Johari disambut Duta Besar Malaysia ke Sweden, Hafizah Abdullah.

Pada Isnin, Abang Johari akan mengetuai kerajaan negeri melakukan lawatan penanda aras ke Parlimen Sweden bagi berkongsi pengalaman dan melihat kepada pelaksanaan perundangan Ombudsman di negara tersebut.

Sweden dipilih sebagai rakan penanda aras kerana negara itu terkenal dengan legasi yang kaya dan terhormat dalam menegakkan prinsip demokrasi, hak asasi manusia, ketelusan dan akauntabiliti yang mana sebelum ini mahu memperkasakan peranan dan fungsi ombudsman menerusi penggubalan Ordinan Ombudsman Sarawak dengan menjadikan Sweden sebagai model.

Kemudiannya Abang Johari akan mengadakan libat urus dengan pihak berkuasa tenaga dan pengendali kuasa di Sweden.

Selepas lawatan ke Sweden, Abang Johari dan rombongannya pula akan ke Norway untuk mendapatkan maklumat tentang pembangunan dan operasi pengawalan dan penyimpanan karbon (CCS) dan kemudahan hidrogen di Bergen.

Abang Johari akan bertemu dengan pegawai Kementerian Petroleum dan Tenaga Norway serta mengadakan perbincangan dengan pemain industri berhubung inisiatif CCS, pelepasan sifar bersih dan penyahkarbonan.

Beliau kemudian akan berlepas ke London untuk mengakhiri lawatan selama seminggu dengan mengadakan pertemuan dengan pegawai atasan Shell di ibu pejabat syarikat multinasional berkenaan di ibu negara itu.

Turut mengiringi rombongan Abang Johari ialah Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr Hazland Abang Hipni, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment


Berita Berkaitan