Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Abdullah Saidol menyampaikan sumbangan kepada wakil penerima sambil disaksikan yang lain. Foto: TVS

Sukaneka khas isi ruang cuti persekolahan

BINTANGOR, 20 Ogos: Buat julung kalinya, satu acara sukaneka khas yang melibatkan penyertaan pelajar dan ibu bapa akan diadakan sebagai pengisian aktiviti sempena cuti penggal persekolahan bermula 26 Ogos ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Datuk Abdullah Saidol berkata, objektif utama program ialah mengukuhkan hubungan antara pelajar dan ibu bapa, di samping merapatkan kemesraan antara pengurusan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bersama warga pendidik.

“Perancangan adalah untuk mengadakan program sukaneka di lima pusat ketika cuti sekolah nanti kerana permohonan ini daripada masyarakat kampung sendiri dan rumah panjang.

“Mereka menyatakan bahawa perlunya ada kemeriahan yang mensasarkan kemeriahan pelajar ketika cuti sekolah kerana tidak semua ibu bapa mampu untuk mengeluarkan belanja pergi bercuti, melancong dan sebagainya,” ujarnya ketika ditemui media.

Dalam pada itu, bagi membantu pelaksanaannya, Abdullah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) menyampaikan sumbangan sebanyak RM15,000.

Beliau juga menghulurkan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM129,000 kepada pelbagai persatuan dan kelab.

Antara penerima termasuklah Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Meradong, Kelab Polis Cawangan Meradong, Panel Klinik Kesihatan Meradong dan Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Meradong.

Di samping itu, Majlis Daerah Meradong Julau (MDMJ) pula menerima RM77,500 bagi tujuan pembinaan 13 papan tanda nama kampung dan rumah panjang di Sungai Sian, Selidap, Muara Bunut, Mupong, Jalan Loba Stabar dan Tanjung Bundung.

Terdahulu, beliau mengadakan lawatan kerja selama dua hari di Bintangor sambil mengadakan perjumpaan bersama ketua masyarakat dari 14 buah rumah panjang, tiga buah kampung, pemimpin persatuan belia dan wakil PIBG. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan