KUCHING, 20 Ogos: Sarawak bakal mempunyai tempat perlindungan haiwan liar yang terbesar di Malaysia seiring dengan inisiatif pemuliharaan kekal terhadap hidupan liar.
Sehubungan itu, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Kerajaan Sarawak komited dalam mewujudkan lebih banyak taman negara, rizab alam semula jadi dan tempat perlindungan hidupan liar seperti yang diputuskan pada tahun 2020.
“Pada masa ini, kita (Sarawak) mempunyai 67 kawasan perlindungan bagi darat dan lautan. Kawasan perlindungan daratan kini adalah kira-kira 870,000 juta hektar manakala taman marin kita adalah melebihi 1.2 juta hektar.
“Kami berhasrat untuk mempunyai lebih 1 juta hektar daripada jisim tanah kita di bawah Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA),” katanya pada Mesyuarat Persatuan Primatologi Antarabangsa (IPS) bersama Persatuan Primatologi Malaysia (MPS) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh yang mewakilinya di majlis itu.
Dalam masa sama, beliau berkata, penyelidikan asas biodiversiti masih lagi diteruskan dengan kerjasama agensi dan universiti.
“Ini termasuk kajian kepelbagaian spatial dan temporal katak merentasi pelbagai habitat yang dibiayai oleh yayasan dan Rancangan Pembangunan Lima Tahun Sarawak di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RM Ke-12),” katanya lagi.
Mengulas lanjut mengenai penemuan orang utan yang dilihat di Taman Negara Gunung Lesong dan Taman Negara Sebuyau baru-baru ini, beliau berkata, usaha pemuliharaan bukan sahaja merangkumi perlindungan haiwan di dalam taman tetapi juga di luar taman.
Memetik laporan dari Persatuan Orang Utan Sumatera (SOS), Abang Johari berkata, 2014 mencatat nisbah sekurang-kurangnya enam hingga lapan ekor orang utan mati ketika ditangkap dan dipindah yang mana melalui nisbah tersebut, sekurang-kurangnya 1,950 hingga 2,600 orang utan Sarawak terkorban atau semasa pengangkutan sekurang-kurangnya 325 haiwan dilaporkan telah dieksport.
Majlis yang sama menyaksikan kehadiran lebih 500 delegasi antarabangsa dari 60 buah negara termasuk ahli primatologi, penyelidik, saintis, pelajar dan pakar dari pelbagai bidang yang juga bertujuan untuk memupuk pertukaran pengetahuan, kerjasama, dan penyelesaian inovatif yang menyumbang kepada pemuliharaan primata dan habitatnya di seluruh dunia.
Turut hadir pada majlis itu ialah Presiden IPS, Dr Jonah Ratsimbazafy dan Penganjur Mesyuarat bersama IPS-MPS, Dr Aini Hasanah Abd Mutalib. – TVS