KUCHING, 20 Ogos: Proses pemindahan penduduk Kampung Pulo Ulu ke Penempatan Projek Pembangunan Darul Hana dijangka bermula suku keempat tahun ini atau selewatnya awal tahun depan.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, mereka akan dipindahkan setelah 60 unit rumah di situ siap.
“Kita berharap kontraktor dapat menyiapkan rumah berkenaan secepat mungkin.
“Keutamaan akan diberi kepada penduduk yang tinggal di kawasan kerap banjir,” katanya.
Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai itu berkata demikian ketika sesi sembang santai bersama belia Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) cawangan berkenaan di sini hari ini.
Terdahulu laporan media menyebut 60 unit rumah di perumahan itu direka semula kerana reka bentuknya yang berkonsepkan rumah bandar tidak dipersetujui oleh penduduk kampung.
Susulan itu konsep rumah berkenaan telah ditukar dan dibina mengikut model rumah sedia ada. -TVS