LIMBANG, 20 Ogos: Padang Majlis Daerah Limbang (MDL) akan dinaik taraf kepada padang bola sepak rumput tiruan, kata Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail.
Beliau berkata, pihaknya sedang mencari dana untuk merealisasikan hasrat itu, jika padang bola sepak rumput tiruan dibina kelak bakal melengkapkan lagi kemudahan sedia ada untuk peminat nombor satu sukan itu dan orang ramai bersukan dan beriadah.
Katanya, pada masa ini hanya di bahagian Kuching dan Bintulu yang mempunyai kemudahan padang bola sepak rumput tiruan untuk sukan bola sepak diadakan di negeri ini.
- Antara pasukan futsal yang beraksi pada Kejohanan Futsal Tertutup Bahagian Limbang. Foto: TVS
“Kita juga berhasrat untuk membina sebuah gelanggang bola sepak menggunakan rumput tiruan yang tidak banyak ada di Sarawak ini.
“Seperti yang saya tahu ada di Kuching dan Bintulu, dan saya Insha-Allah akan berusaha untuk mencari dana untuk menaik taraf sebuah gelanggang bola sepak milik MDL dijadikan sebagai gelanggang bola sepak rumput tiruan, satu kemudahan yang baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Kejohanan Futsal Tertutup Bahagian Limbang anjuran Pejabat Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) Bahagian Limbang malam tadi.
Dr Abdul Rahman memberitahu lagi Limbang juga mempunyai tempat utama bagi penganjuran sukan lasak dengan pembinaan Lapangan Rekreasi Limbang yang sudah dibuka kepada orang ramai.
“Limbang juga mempunyai kemudahan sukan lasak di tapak lapangan terbang lama Limbang, sudah hampir siap yang dikenali sebagai Lapangan Rekreasi Limbang dan di situlah nanti kita mengadakan sukan-sukan bermotor seperti ‘drag race’, pertandingan kapcai dan sebagainya.
“Usaha ini akan kita teruskan sebab penggemar-penggemar sukan sama ada pemain-pemain sosial serta penonton sentiasa bertambah.
“Kita berharap akan tercungkil bakat-bakat supaya rakyat Limbang dapat menjadikan sukan ini sebagai bidang profesional mereka,” katanya lagi. – TVS