KUCHING, 20 Ogos: Sebanyak 1,225 anak pokok spesies berharga ditanam di Hutan Simpan Sabal sempena kempen dianjurkan oleh Jabatan Hutan Sarawak (FDS) dengan kerjasama Sarawak Energy Berhad (SEB) semalam.
Menurut FDS, Kempen Penanaman, Perlindungan dan Pemuliharaan Habitat Bersepadu 10 Tahun (2021-2030) itu dilaksanakan oleh SEB sebagai menyokong Kempen Menghijaukan Sarawak.
“Program ini menyumbang kepada jumlah kumulatif pokok yang ditanam di Sarawak di bawah Agenda Menghijaukan Malaysia Melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok (2021-2025).
“Selain itu, ia sejajar dengan usaha kami untuk menangani isu perubahan iklim yang menjadi salah satu cabaran terbesar yang dihadapi oleh manusia pada hari ini,” kata FDS menerusi kenyataan media.
FDS berkata, mereka berbesar hati untuk bekerjasama dengan pelbagai agensi, industri, badan bukan kerajaan dan masyarakat setempat untuk memelihara alam sekitar.
Seramai 300 orang wakil dari FDS, SEB dan komuniti tempatan terlibat menanam anak pokok seperti meranti dan selangan.
Turut hadir Penolong Pengarah FDS, Zarina Shebli dan Naib Presiden Kanan SEB, Marconi Magai. – TVS