BINTANGOR, 20 Ogos: Orang ramai digesa mengibarkan Jalur Gemilang bagi membuktikan rasa cinta terhadap tanah air di samping menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir Yusuf Abd Wahab berkata, menerusi pengibaran bendera kebanggaan negara itu, masyarakat menzahirkan semangat patriotisme dan rasa bangga sebagai rakyat Malaysia.
Malah katanya, semangat itu perlu terus subur dan terpelihara sekali gus memastikan kedaulatan negara terus dipertahankan.
“Di mana-mana kita berada di rumah, di kereta, di pejabat, di kebun pun, di kenderaan pun sama-samalah kita mengibar dengan megahnya bendera bendera Sarawak, bendera-bendera Malaysia ini.
“Ia akan memberi semangat kepada kita memperjuangkan negeri kita, memperjuangkan hak kita, begitu juga membakar semangat untuk kita bergerak maju dan makmur di masa akan datang,” tegasnya.
Yusuf berkata, nilai-nilai positif dalam diri juga perlu diamalkan di samping menyemai kerjasama dan toleransi yang menjadi tunjang utama pembangunan negara.
Dalam pada itu katanya, generasi muda juga perlu menghargai perjuangan dan pengorbanan pemimpin terdahulu sehingga membawa kemakmuran dan pembangunan yang dikecapi hari ini.
“Tidak lupa juga kita harus mengingati pengorbanan dan jasa-jasa, perjuangan bapa-bapa kemerdekaan kita dahulu, bapa-bapa kemerdekaan Sarawak dahulu, bapa-bapa kemerdekaan Malaysia dahulu, supaya ini akan terus kita kenang.
“Kita perlu terus semaikan dalam diri kita kepada anak cucu, memperingati perjuang-pejuang bangsa ini supaya mereka memperingati perjuangan mereka tidak disia-siakan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyertai senamrobik sempena 60 tahun Sarawak Merdeka anjuran Parti Pesaka Bumiputera (PBB) N46 Meradong, pada Ahad.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing. – TVS