KUCHING, 20 Ogos: Hasrat Parti Sarawak Bersatu (PSB) untuk bergabung dengan Parti Demokratik Progresif (PDP) menjadi bukti keberkesanan agenda pembangunan di bawah pentadbiran Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, kestabilan politik yang semakin kukuh di Sarawak dicetuskan oleh dasar pembangunan yang jelas selain mengutamakan kesejahteraan rakyat.
“Mereka (PSB) memahami apa yang sedang dilakukan oleh GPS yang dipimpin oleh Abang Johari (yang mengutamakan) perpaduan dan menjadi tonggak utama untuk membangunkan Sarawak.
“Perkara itu terbukti dan saya berpandangan sebab itulah mereka meninggalkan ideologi untuk menjadi pembangkang dan ingin bergabung dengan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Majlis Pelancaran Pergerakan Belia 1828 PBB Cawangan Pantai Damai di sini hari ini.
Semalam, Presiden PDP, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, penggabungan partinya dengan PSB dijangka akan dimuktamadkan selewat-lewatnya hujung tahun ini.
Sementara itu, Abdul Rahman yang juga Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi menambah, pelbagai inisiatif dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak terbukti berkesan dengan peningkatan hasil pada tahun lepas sekali gus menjadikan Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi.
Dalam pada itu, beliau memberi jaminan sistem semak dan imbang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak tidak akan terganggu walaupun jumlah pembangkang mengecil susulan penggabungan itu.
“Bilangan tidak menjadi faktor utama keberkesanan perjalanan dewan, yang paling penting, mereka mereka merupakan pembangkang yang berkualiti,” tambahnya. -TVS