GOMBAK, 20 Ogos: Jenazah Allahyarham Datuk Seri Johari Harun, seorang daripada 10 mangsa yang maut dalam tragedi nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, Khamis lalu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, hari ini.
Jenazah disemadikan kira-kira pukul 12 tengah hari selepas selesai solat jenazah di Masjid Jamek Ar-Rahimiah dan Masjid Saidina Hamzah bagi solat jenazah kali kedua.
Dianggarkan lebih 500 orang hadir ke majlis pengebumian Johari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai di Pahang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin turut hadir memberi penghormatan terakhir.
Dalam kejadian Khamis lalu, pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) itu yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang terputus hubungan dengan menara kawalan pada pukul 2.40 petang dan disahkan terhempas di atas kawasan lebuh raya.
Selain dua juruterbang pesawat dan enam penumpang, dua lagi yang terbunuh ialah seorang penunggang motosikal serta pemandu grab yang ketika kejadian melalui kawasan terbabit. – TVS