MIRI, 20 Ogos: Miri Street Parade 2023 berlangsung dengan meriah dan jayanya apabila berjaya menghimpunkan ribuan warga bandaraya ini bagi menyaksikan perarakan yang diadakan di Miri Town Square, malam tadi.
Paling mencuri tumpuan dalam sambutan itu tentunya kehadiran tiga anggota bomba sado yang menaiki trak sambil menayang otot biceps sehingga wajah mereka menjadi ‘tumpuan’ dalam kalangan orang ramai.
Salah seorang anggota terlibat, Kevin Goh Siaw Hai, 28, mengakui hilang kata-kata apabila dia dan rakan-rakan menerima reaksi luar biasa orang awam.
“Inspirasi untuk kontinjen kami menyertai perarakan ini merupakan buah fikiran pihak atasan kami.
“Kami nak buat yang terbaik bagi kategori Jabatan Kerajaan dan Swasta di Miri Street Parade 2023, jadi kami membuat latihan posing dan sebagainya. Semuanya berjalan dengan lancar,” katanya ketika ditemuramah TVS ketika Miri Street Parade 2023 sedang berlangsung.
Pada masa sama, Sariwien Mudim, 27, berasal dari Sabah berkata, selain digelar anggota bomba, beliau pada mulanya berjinak-jinak dalam dunia peraduan.
“Saya pernah mewakili Mr. Borneo, namun saya tidak mendapat tempat dalam pusingan terakhir.
“Manakala untuk Mr. Miri pula, saya telah menang ketika itu lalu apabila saya mewakili Mr. Sarawak ketika itu, saya pun menang juga. Saya tidak sangka perkara ini dapat berlaku.
“Oleh kerana itu, saya bakal mewakili Sarawak dalam Mr. Malaysia dan kami akan bertanding pada bulan Oktober ini nanti,” ujarnya.
Dedahnya lagi, beliau mula bertugas sebagai anggota bomba pada 2017 dan sentiasa pergi ke gym.
Azhar Pardi pula berkata, pergi gym menjadi suatu kewajipan walaupun syif bekerja sentiasa berubah.
“Antara tugas anggota bomba adalah untuk mengawal kebakaran dan operasi menyelamat. Jadi saya akan sentiasa ke gym untuk menjadi lebih cergas,” ujarnya.
Senada dengan Azhar, kecergasan itu sangat dititikberatkan buat Mohamad Hamdani Madon apabila digelar sebagai anggota bomba.
“Jadi untuk malam ini, kami ingin membuktikan bahawa inilah rupa fizikal sebenar anggota bomba.
“Seperti yang kita semua tahu, bomba sering berhadapan dengan aktiviti kecemasan. Jadi saya ingin menekankan betapa pentingnya untuk sentiasa cergas dan sihat untuk menjalankan tugas kami.
“Walaupun anggota bomba bekerja mengikut syif, kami sentiasa akan membuat aktiviti berkala atau bersukan. Inilah yang kami ingin sampaikan kepada orang awam mengenai tugas-tugas bomba,” katanya lagi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Zon 6 Miri mendapat naib johan dalam Kategori Jabatan Kerajaan dan Swasta acara Miri Street Parade 2023.
Mereka memenangi piala, sijil dan wang tunai sebanyak RM3,000.
Tempat ketiga dimenangi oleh Institut Latihan Perindustrian Miri memenangi piala, sijil dan wang tunai sebanyak RM 1,000 manakala juara kategori tersebut disandang oleh Batalion 12 Pasukan Gerakan Am (PGA) mendapat piala, sijil dan wang tunai sebanyak RM 5,000. – TVS