Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ahli Parlimen Tanjung Manis, Ir Yusuf Abdul Wahab menyempurnakan majlis perasmian pondok Skim Rondaan Sukarela (SRS) Jalan Cempaka. Foto: TVS

Tingkat peranan KRT agen perpaduan akar umbi

SARIKEI, 19 Ogos: Kawasan Rukun Tetangga (KRT) mampu meningkatkan permuafakatan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum melalui aktiviti yang dilaksanakan.

Ahli Parlimen Tanjung Manis, Ir Yusuf Abdul Wahab berkata, KRT merupakan sebahagian komponen penting dalam memastikan perpaduan di negara ini dapat diperkukuhkan.

Ahli Parlimen Tanjung Manis, Ir Yusuf Abdul Wahab menyertai rondaan bersama anggota SRS dan PDRM di Kampung Seberang Sarikei. Foto: TVS

Malah ujarnya, KRT yang proaktif berupaya menjana kerjasama dalam komuniti sekali gus membentuk keharmonian dan kesejahteraan.

“Rukun tetangga bukan hanya menjaga keselamatan dan keamanan tetapi juga kejiranan dalam sesebuah komuniti. Sebagai contoh, kalau kita melihat peranan mereka yang boleh digerakkan melalui Skim Rondaan Sukarela (SRS),” katanya ketika menyempurnakan perasmian pondok SRS dan Program SRS KRT Jalan Cempaka, malam tadi.

Yusuf berkata, KRT juga boleh memainkan peranan dari sudut kesihatan dengan memberi penekanan terhadap amalan hidup sihat dalam kalangan komuniti melalui kerjasama agensi berkaitan.

Selain itu katanya, mereka juga boleh menjaga kebersihan dan mengekalkan keindahan persekitaran kampung.

Malah sebagai rukun tetangga yang bertanggungjawab katanya, mereka boleh mengenal pasti golongan tertentu dalam sesebuah komuniti agar tidak terlepas mendapat bantuan kerajaan.

“Golongan rentan seperti ibu tunggal, warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan orang kurang berkemampuan perlu mendapat perhatian sewajarnya.

“Memang kita ada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan sebagainya, tapi sebagai KRT yang bertanggungjawab, kita harus bersama mengenal pasti kumpulan ini dan memaklumkannya kepada agensi yang berkaitan,” katanya.

Hadir sama, Pegawai Perpaduan Bahagian Sarikei, Erma Farida Yusuf. -TVS

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan