KUCHING, 19 Ogos: Seorang petani dari Rumah Panjang Mulok, Klua Krian, Saratok yang juga lelaki tertua di Malaysia, Seliman Bandang, meninggal dunia di Hospital Saratok kira-kira jam 5.20 pagi tadi pada usia 113 tahun.
Menurut ahli keluarga mendiang, upacara penghormatan terakhir mendiang akan diadakan pada 21 Ogos 2023 di Rumah Panjang Mulok, Klua Krian, Saratok.
Mendiang kemudiannya akan dikebumikan pada 22 Ogos 2023 di Tanah Perkuburan Kristian Klua, Saratok.
Mendiang meninggalkan dua orang anak, sembilan orang cucu dan cicit seramai 23 orang.
Seliman dilahirkan pada 21 Mac 1910, berasal dari Tenggalat, Saratok telah menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBR) pada dua tahun lalu.
Dalam satu temu bual bersama akhbar tempatan, Seliman berkongsi rahsia dan pengalaman kehidupan kepada warganet menerusi cucunya, Micheal Bandang Tinggai, 26.
Micheal berkata, datuknya itu selalu berfikiran positif dan menjalani kehidupan harian tanpa tekanan, selain pemakanan seimbang.
‘Mendiang Seliman pesan suruh saya ziarah dia’ – Mohamad Duri
Beliau berkata, datuknya juga kerap bersembang bersama cucu cicitnya, manakala sebelah petang dia akan melawat sanak- saudara berdekatan untuk berbual.
Katanya, datuknya juga sangat gembira dapat melihat pembangunan pesat di Sarawak dan negara hari ini. – TVS