KUCHING, 19 Ogos: Pementasan teater Rentap The Battle of Bukit Sadok dilihat berjaya mengangkat semangat patriotisme rakyat Sarawak agar menghargai pengorbanan wira berbangsa Iban itu dalam mempertahankan kedaulatan Sarawak.
Pembukaan pementasan teater selama 90 minit yang diadakan malam tadi adalah kemuncak kepada Sarawak Harvest and Folklore Festival yang diadakan setiap tahun oleh Kampung Budaya Sarawak (SCV) sejak tahun 1996 lagi.
Menurut seorang penonton yang ditemui TVS, Madzlan Abet, dia menantikan pementasan teater seumpama itu yang disifatkan julung kali diadakan di Sarawak
“Ini adalah persembahan yang memang kita nantikan selama ini di mana Sarawak memerlukan pementasan seperti ini.
“Di Sarawak, diperlukan satu tempat khas untuk hiburan yang sebegini supaya bakat-bakat baharu dapat dicungkil,” katanya lagi.
Drama Muzikal Rentap ‘The Battle of Bukit Sadok’ acara kemuncak Festival Menuai 2023
Sementara itu, pelakon utama teater ini Anding Indrawani yang memegang watak utama sebagai Rentap berkata, teater tersebut mencabar dirinya sebagai seorang pelakon kerana perlu memahirkan diri dengan lima bidang yang berlainan
“Untuk bermain dengan ruang pentas bagi saya sangat mencabar kerana saya terpaksa belajar lima benda iaitu berlakon, menari, nyanyian, berlawan dan juga komunikasi dalam Bahasa Iban.
“Semua itu perlu dilakukan dalam masa dua minggu dan dua minggu itu adalah masa yang sangat penting untuk kami,” ujarnya.
Selain Anding, Rentap The Battle of Bukit Sadok turut menampilkan Melissa Francis (Sawai), Arwan Umar (Orang Kaya Nanang), Nick Jassen (White Rajah), Jay Iswazir (Roslan) dan Shakira Stephen (Suntey).
Selain pelakon profesional, produksi pementasan teater itu turut dijayakan oleh pelajar dari program Skim Latihan Dual Nasional (SLDN), pelajar dari Sekolah Seni Sarawak dan Artis Budaya dari Kampung Budaya Sarawak
Rentap The Battle of Bukit Sabok mengisahkan mengenai kebijaksanaan dan kekuatan Rentap bersama pasukannya dalam mempertahankan Bukit Sadok agar tidak jatuh ke tangan British melalui White Rajah.
Hadir sama menyaksikan persembahan teater tersebut malam tadi Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Timbalannya, Datuk Snowdan Lawan, Setiausaha Kewangan Negeri, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee. -TVS