KUCHING, 19 Ogos: Pemilik Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) komuniti Dayak perlu mengambil peluang melibatkan diri dalam inisiatif perdagangan karbon yang diperkenalkan oleh Kerajaan Sarawak.
Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, banyak kawasan tanah NCR tidak dibangunkan secara komersial, sekali gus tidak menghasilkan pendapatan kepada pemilik.
“Kita di Sarawak bertuah kerana Premier telah memperkenalkan ekonomi baharu, salah satu ialah perdagangan karbon.
“Saya telah berbincang dengan Sarawak Forestry Corporation (SCR) dan telah mengenalpasti kawasan yang berpotensi untuk mengambil bahagian di dalam perdagangan karbon ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Bangunan Baharu Yayasan Kebudayaan Dayak (DCF) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI) yang disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini
Jelas Uggah yang juga merupakan Pengerusi Yayasan Kebudayaan Dayak (DCF), pihaknya mahu teribat sama dalam menjayakan hasrat berkenaan.
Tambahnya, DCF telah meneroka mengenai potensi ekonomi baharu yang dapat membantu meningkatkan taraf hidup komuniti Dayak di Sarawak. – TVS