SIBU, 19 Ogos: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ketika mengangkat barang di RC Pontoon Wharf Pulau Babi di sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa yang belum dikenal pasti identitinya dipercayai seorang pekerja buruh kasar masih belum ditemui sehingga kini.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu, Penguasa Kanan Bomba (PgKB 1) Andy Alie berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu pada jam 12.26 tengah hari.
Katanya, sepasukan empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral telah digerakkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi pencarian menggunakan sebuah bot penyelamat berkuasa kuda 60hp.
“Setibanya di lokasi, pihak kami dimaklumkan seorang saksi memberitahu ternampak seorang lelaki berbaju dan berseluar warna hitam telah terjatuh ke dalam sungai ketika mengangkat barang di atas bot ekspres,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Berikutan kejadian, pihaknya bersama empat anggota pasukan polis marin telah memulakan operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) pada jam 12.30 tengah hari.
“Sehingga jam 4 petang ini, operas‬i pencarian tertumpu di kawasan mangsa terjatuh melibatkan keluasan pencarian satu kilometer radius dari tempat mangsa terjatuh,” katanya. -TVS