KUCHING, 19 Ogos: Komuniti Dayak di Sarawak boleh terus maju ke depan dan bersama-sama menggembleng tenaga menbangunkan negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kemudahan yang disediakan di bangunan baharu Yayasan Kebudayaan Dayak (DCF) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI) perlu digunakan sebaiknya.
“DCF dan DCCI sudah mempunyai sumber tersendiri yang dapat digunakan untuk mentransformasikan dan memperkenalkan ekonomi baharu kepada komuniti Dayak termasuk mereka yang tinggal di luar bandar,” katanya semasa merasmikan bangunan baharu DCF dan DCCI di Kuching, hari ini.
Jelasnya, rakyat tidak hanya bergantung kepada projek pembinaan infrastruktur seperti jalan raya dan parit kerana pembangunan ini tidak mampan.
“Sekiranya kemudahan jalan raya sudah ada, sumber kita ada, aktiviti ekonomi yang mampan perlu diteroka. Kekurangan yang kita hadapi sekarang ialah kajian,” jelasnya.
Justeru, Abang Johari menyeru pakar-pakar komuniti membantu mencari idea untuk meneroka peluang perniagaan berdasarkan sumber yang telah sedia ada.
“Saya juga telah meminta Persatuan Graduan Dayak Sarawak (SDGA) bekerjasama dengan universiti tempatan bagi mengenal pasti manfaat ekonomi lain melalui sumber yang kita ada terutamanya, melibatkan komuniti Dayak,” tambahnya.
Katanya, Kerajaan Sarawak telah memberi bangunan kepada SDGA yang boleh digunakan mereka untuk menjemput pakar-pakar bagi membincangkan arah baharu dalam membangunkan komuniti Dayak. – TVS