Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Abdullah Saidol mengadakan perjumpaan bersama ketua masyarakat, pemimpin persatuan belia dan wakil PIBG di Dewan Masyarakat Kampung Tanjung Bundong, Bintangor, hari ini. Foto: TVS

Ketenangan politik landasan terbaik bela rakyat – Abdullah

BINTANGOR, 19 Ogos: Kestabilan dan suasana tenang politik Sarawak bukan sahaja memberi kelebihan kepada kerajaan untuk melaksanakan agenda pembangunan tetapi juga membolehkan wakil rakyat memberi tumpuan sepenuhnya terhadap isu berkaitan permasalahan rakyat.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak), Datuk Abdullah Saidol berkata persekitaran politik yang positif itu membuka ruang yang lebih luas untuk bekerja dengan lebih gigih dalam membela nasib rakyat.

Mengulas suasana dan kesan politik Sarawak berbanding keadaan di Semenanjung selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, beliau berkata, polemik politik di Semenanjung masih belum reda selepas keputusan pilihan raya selesai.

“Maklum balas yang saya terima daripada beberapa pemerhati dan penganalisa politik yang merumuskan secara am, bahawa suasana politik di Sarawak ‘membosankan’ kerana suasana dan kepimpinan politik sangat tenang dan stabil. Hampir tiada polemik politik yang menarik untuk dibicarakan.

“Namun, dalam kebanyakan perjumpaan bersama wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS), Premier (Sarawak) Abang Jo (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) sering mengingatkan semua wakil rakyat supaya tidak bersikap sambil lewa dan mesti mengambil kesempatan dalam suasana pentadbiran yang tenang untuk lebih rajin turun padang mengurus keperluan di kawasan masing-masing,” katanya.

Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Semop berkata demikian kepada media, hari ini, selepas mengadakan lawatan kerja selama dua hari di Bintangor.

Menurutnya, beliau mentafsir dan merumuskan peringatan Premier, bahawa rakyat akan menilai dan akan terus menyokong pentadbiran GPS jika formula pembangunan yang dilaksanakan terbukti memberi kemudahan dan kesejahteraan masyarakat Sarawak secara keseluruhan.

Tambahnya, Premier turut memaklumkan bahawa kedudukan kewangan negeri yang semakin kukuh dan keadaan itu adalah baik untuk wakil rakyat yang mewakili kawasan pedalaman untuk lebih bersungguh-sungguh memastikan infrastruktur awam diberi perhatian dan tindakan segera. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan