KUCHING, 19 Ogos: Memiliki rekod menyertai lebih 16 aktiviti komuniti dan kemasyarakatan memberikan kelebihan kepada Kelab Belia Sadong (KBSS) untuk dinobatkan selaku juara bagi kategori Pertubuhan Belia Anugerah Perdana sempena Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Sarawak 2023.
Kemenangan menjadi pilihan juri itu sekali gus membolehkan KBSS membawa pulang hadiah berupa wang tunai bernilai RM10,000.
Kategori individu lelaki pula dimenangi Ricky Enteri, 32, dari Sibu yang pernah terlibat dengan 16 aktiviti komuniti dan kemasyarakatan manakala bagi kategori individu wanita dirangkul Debbie Gibson Medan, 27, dari Bintulu.
Kedua-dua mereka membawa pulang hadiah wang tunai masing-masing bernilai RM3,000 yang disampaikan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Beliau berkata, sambutan yang diraikan sempena Hari Belia Kebangsaan pada 15 Mei lalu merupakan kali kedua berlangsung di Samarahan bagi peringkat negeri Sarawak.
“Sambutan ini adalah penghargaan dan pengiktirafan daripada pihak kerajaan kepada golongan belia yang menyumbang kepada pembangunan negara dan selain daripada itu untuk memberi semangat serta meningkatkan lagi kesedaran golongan belia di negara dan juga negeri.
“Selain daripada itu untuk menanamkan semangat patriotik dan cintakan tanah air, jati diri kepada belia itu sendiri,” katanya
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Sarawak 2023.
Abdul Karim berkata, Samarahan dipilih untuk kali kedua berdasarkan beberapa sebab tertentu termasuk dari aspek kemudahan logistik bagi mengadakan aktiviti di samping dapat memudahkan pergerakan penerima anugerah belia terlibat.
Beliau dalam pada itu turut mendedahkan Sambutan Hari Belia anjuran Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak akan diadakan di Kapit pada 2 Disember depan.
Jelasnya, sambutan tersebut dijangka akan dirasmikan sendiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. -TVS