Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Gunung Buda berpotensi jadi destinasi pelancongan baharu di Sarawak. Foto: Chua Eng Hin Limbang

Gunung Buda boleh jadi produk pelancongan antarabangsa

LIMBANG, 19 Ogos: Gunung Buda yang diiktiraf sebagai khazanah dunia serta mempunyai sistem gua terbesar dan unik setanding Gunung Mulu perlu dibangunkan segera kerana impaknya dalam memacu ekonomi masyarakat sekitarnya.

Pengarah Syarikat Lun Bawang, Kelabit, Tabun Gunung Buda Bersatu, Tom Singa Bayong berkata, usaha membangunkan Gunung Buda perlu dipergiat kerana potensinya yang cukup besar sebagai daya tarikan pelancongan antarabangsa.

Tom Singa yang juga Pengarah Koperasi Gunung Buda Bersatu berkata, akses jalan raya menghubungkan destinasi pelancongan terkemuka itu dengan dunia luar perlu dilaksanakan dalam menjana sektor pelancongan yang memberi manfaat kepada penduduk sekitarnya.

Keindahan di sekitar Gunung Buda telah menarik kehadiran pengunjung ke kawasan itu. Foto Larry Siga.

“Matlamat syarikat kami yang ditubuhkan pada Disember 1998 adalah untuk membangunkan Gunung Buda bersama dengan kerajaan melalui Jabatan Hutan dalam usaha menarik kemasukan pelancong.

“Ia juga untuk menghidupkan semua kebudayaan, seni yang telah pupus akan dihidupkan semula untuk tarikan pelancong selain memasarkan produk asal kami yang sentiasa ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui TVS selepas mesyuarat bersama ahli-ahli jawatankuasa Syarikat Lun Bawang Kelabit Tabun Gunung Buda Bersatu dan Koperasi Gunung Buda Bersatu pada Sabtu.

Jelas Tom Singa lagi, Syarikat Lun Bawang Kelabit Tabun Gunung Buda Bersatu yang kini berusia lebih 20 tahun sejak ditubuhkan pada Disember 1998 berhasrat untuk membangunkan sektor pelancongan masyarakat sekitarnya melalui pembangunan di Gunung Buda.

Ia melibatkan masyarakat Lun Bawang, Kelabit, Tabun, Iban, Penan dan sekitarnya yang mendiami kawasan dan rumah panjang berhampiran Gunung Buda.

Katanya, masyarakat Bumiputera di kawasan berkenaan mempunyai banyak kebudayaan, produk kraf tangan dan pelancongan seperti inap desa yang mampu diperluaskan apabila Gunung Buda dibangunkan nanti.

Seorang lagi ahli syarikat yang juga penduduk kaum Penan, Kala Konee, dari Long Meging mahu Gunung Buda dibangunkan segera kerana manfaatnya kepada kaum Penan di kawasan itu.

“Saya wakil dari kaum Penan, dari Kampung Long Meging Sungai Maguh apa yang kami harapkan agar kerajaan membangunkan kebudayaan untuk kami kaum Penan di Gunung Buda.

“Kami minta kerajaan membangunkan Gunung Buda ini secepatnya kerana kaum Penan juga mempunyai banyak kebudayaan yang dapat dipromosikan bersama dengan pembangunan di Gunung Buda,” katanya lagi.

Seorang lagi ahli syarikat, Anie Isut dari Kampung Rantau Kura menjelaskan aktiviti ekonomi penduduk setempat dapat dihidupkan, sekiranya akses jalan raya ke gunung itu dapat dibina.

Katanya, penduduk khususnya masyarakat Iban juga mempunyai banyak produk kraf tangan selain kemudahan inap desa di rumah panjangnya untuk menyambut kemasukan pengunjung luar. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan