KUCHING, 18 Ogos: Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman mengemukakan empat nama calon bagi jawatan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak untuk diluluskan Pemangku Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar.
Nama calon-calon berkenaan dikemukakan kepada Asfia menerusi kunjungan hormat yang diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abdul Rahman Sebli di Astana Negeri, di sini, hari ini.
Turut serta, delegasi dari Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang diwakili Datu Abdul Razak Tready.
“Memang kita ada calon tetapi ia terpulang kepada budi bicara Pemangku Yang Di-Pertua Negeri untuk bersetuju atau tidak bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan,” katanya ketika ditemui selepas sesi kunjungan hormat.
Untuk rekod, ia merupakan kunjungan hormat pertama diterima Asfia selepas dilantik sebagai Pemangku Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, semalam. – TVS