KUCHING, 18 Ogos: Ibu kandung kepada bayi yang ditemukan di tempat pembuangan sampah di Moyan Square, Batu Kawah hari ini berjaya dikesan dan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.
Pemangku Ketua Polis Daerah Padawan DSP Lim Jaw Shyong berkata suspek yang belum berkahwin, berumur 22 tahun dan warga tempatan ditangkap pada 11.20 pagi.
“Tangkapan ke atas suspek kemudiannya telah dilakukan untuk siasatan selanjutnya manakala bayi telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan yang selanjutnya serta pemantauan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, polis telah berhubung dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membantu menguruskan bayi berkenaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, pada 9.18 pagi, polis menerima laporan berhubung penemuan bayi yang masih hidup di dalam sebuah kotak oleh pekerja syarikat pengurusan pembuangan sampah ketika kerja-kerja pemunggahan sampah di lokasi pada kira-kira 6.50 pagi. – TVS