KUCHING, 17 Ogos: Kerajaan Sarawak telah melaksanakan beberapa langkah untuk membantu usaha menangani kenaikan paras laut di sini.
Presiden Institut Jurutera Malaysia (IEM) Ir Prof Dr Norlida Buniyamin berkata, bagi tujuan itu sejumlah peruntukan telah disediakan.
Kata beliau, perhatian serius yang diberikan itu wajar dipuji kerana dapat mengelak pelbagai kesan terhadap alam sekitar ekoran masalah berkenaan.
“IEM berasa kagum apabila mendapati Sarawak sudah berada di hadapan dalam mengurangkan masalah kenaikan paras laut.
“Banyak pembiayaan telah disalurkan oleh Kerajaan Sarawak untuk melindungi pinggir pantai, tahniah kepada Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat bertemu Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, IEM turut mengalu-alukan langkah Kerajaan Sarawak menambah peruntukan sebanyak RM30 juta bagi kerja-kerja penanaman tukun tiruan yang bertujuan untuk memelihara serta mengekalkan sumber hidupan laut di perairan negeri ini.
“Ini merupakan usaha yang baik setelah beberapa projek penanaman tukun tiruan di perairan Sarawak sebelum ini berjaya,” katanya. -TVS