Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Awang Tengah menyampaikan hadiah kepada pasukan wakil Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Trusan Lawas yang menjuarai MSSB kali ke-52. Foto: TVS

Kerajaan Sarawak sedia RM160 juta baiki sekolah daif di Limbang

LIMBANG, 17 Ogos: Kerajaan Sarawak menyediakan peruntukan sebanyak RM160 juta di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) untuk membaik pulih serta membina bangunan baharu sekolah daif di Limbang, kata Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Timbalan Premier Sarawak itu berkata, dana berkenaan disediakan kerana kerajaan negeri memandang serius isu kekurangan kemudahan yang dihadapi sekolah di kawasan berkenaan.

Kata beliau, walaupun bidang pendidikan terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan namun Kerajaan Sarawak tidak mahu isu berkenaan terus berlarutan dan seterusnya menjejaskan kualiti pendidikan di sini. 

“Kita tahu banyak sekolah dalam keadaan daif, (begitu juga) dengan rumah guru.

“Oleh itu, kita akan bantu dan usahakan untuk mendapatkan peruntukan yang lebih supaya infrastruktur pendidikan ini sama ada melibatkan sekolah rendah serta menengah dapat diperbaiki,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Majlis Penangguhan Rasmi Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Bahagian (MSSB ) Bahagian Kali Ke -52 Bahagian Limbang di Kompleks Sukan Limbang hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong dan Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail

Mengulas lanjut, Awang Tengah berkata, berdasarkan maklumat terdapat sekolah berasrama tidak mempunyai dewan makan selain kuarters guru menghadapi masalah kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air.

Berkenaan dengan peruntukan itu, Awang Tengah berkata, ini membuktikan Kerajaan Sarawak memandang serius isu pendidikan.

“(Sehubungan itu kerajaan negeri akan) menyediakan peruntukan besar untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur dan prasarana sekolah lebih baik,” katanya.

Langkah itu juga tambah beliau bagi memastikan sesi pengajaran dan pembelajaran dapat dilakukan dengan kondusif di seluruh sekolah termasuk luar bandar. -TVS 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan