KUCHING, 17 Ogos: Imej tiga ekor orang utan berjaya dirakam menggunakan kamera tersembunyi yang dipasang Tabung Alam Sedunia Malaysia (WWF-Malaysia) di hutan Gunung Lesong, Sri Aman, baru-baru ini.
WWF-Malaysia dan Jawatankuasa Komuniti Ekopelancongan Gunung Lesong, Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) berkata ini merupakan perkembangan menggembirakan kerana kali pertama dapat merakam gambar primat ini di kawasan berkenaan.
Imej berkenaan dirakam menjelang sambutan Hari Orang Utan Sedunia yang jatuh pada 19 Ogos setiap tahun, kata dua organisasi berkenaan menerusi kenyataan media bersama, semalam.
Pengkaji hidupan liar WWF-Malaysia, Lukmann Haqeem Alen berkata pihaknya yakin terdapat tiga ekor orang utan atau nama saintifiknya, Pongo pygmaeus, di hutan Gunung Lesong berdasarkan saiz badan dan ciri muka yang dilihat dalam gambar.
“Salah satu gambar yang menarik menunjukkan seekor orang utan betina bersama anaknya, yang memberikan petanda positif bahawa populasi orang utan di Gunung Lesong masih membiak,” katanya menerusi kenyataan berkenaan.
Gambar dirakam menunjukkan orang utan betina bersama anaknya muncul dari anak sungai berdekatan sebelum memanjat pokok. Orang utan ini mungkin turun mencari air sebelum mencari perlindungan yang lebih selamat di atas pokok, jelasnya.
Menurutnya, setelah berbulan-bulan memasang perangkap kamera untuk mendapatkan maklumat tentang hidupan liar di kawasan tersebut, mereka sangat gembira apabila melihat imej orang utan yang berjaya dirakam.
Lukmann berkata penduduk tempatan juga melaporkan bahawa mereka pernah melihat orang utan di kawasan ini, terutamanya semasa musim buah.
“Sebagai contoh, pada Disember 2022, seorang penduduk berjaya merakam video yang dipercayai menunjukkan seekor orang utan. Gambar daripada perangkap kamera ini mengesahkan apa yang dinyatakan oleh penduduk tempatan,” jelasnya.
WWF-Malaysia dan Jawatankuasa Komuniti Ekopelancongan Gunung Lesong, Agensi Pembangunan Sri Aman menegaskan bahawa perkembangan mengenai bukti kewujudan orang utan secara tidak langsung perihal betapa pentingnya melindungi hutan-hutan di sekitar Taman Negara Gunung Lesong.
“Gambar-gambar ini juga membawa berita gembira kepada Sarawak, terutamanya kepada pihak-pihak yang terlibat dalam usaha bersama untuk memulihara dan mengurus kawasan tersebut secara lestari sebagai kompleks eko-pelancongan,” katanya. – TVS