KUALA LUMPUR, 17 Ogos: Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) di bawah Kementerian Pengangkutan sedang mengesan kotak hitam pesawat Beechcraft Model 390 yang terhempas berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor, petang tadi.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, BSKU telah diaktifkan dan dikerah kepada lokasi nahas untuk menjalankan siasatan.
“Pencarian kotak hitam merupakan misi utama pasukan ketika ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang hari ini.
Pesawat yang membawa enam penumpang termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Seri Johari Harun berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada pukul 2.08 petang menuju ke LTSAAS.
Pesawat disahkan terhempas pukul 2.40 petang tadi.
Sementara itu Anthony berkata, dua juruterbang dikenali sebagai Shahrul Kamal Roslan dan Heikal Aras Abdul Azim manakala lima penumpang lain iaitu Kharil Azwan Jamaludin, Shaharul Amir Omar, Mohamad Naim Fawwaz Mohamed Muaidi, Muhammad Taufiq Mohd Zaki dan Idris Abdol Talib @ Ramali turut maut.
“Identiti dua lagi orang awam yang terlibat dalam tragedi itu akan disahkan melalui siasatan polis,” katanya. -TVS