MIRI, 16 Ogos: Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) berperanan untuk mempromosikan pengajian Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dalam kalangan belia Sarawak terutamanya bagi golongan pelajar di sekolah dan kawasan pedalaman.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau berkata, usaha ini dilakukan bagi memberitahu kepada golongan belia bahawa mempunyai pilihan lain dengan melanjutkan pengajian bagi TVET yang boleh membawa mereka kepada pekerjaan yang lumayan.
“Pada mulanya hasrat kita menubuhkan TEGAS untuk mempromosikan TVET. Kita selalu pergi ke kawasan pedalaman dan sekolah untuk memberi maklumat mengenai pendidikan teknikal. Ini kerana kita melihat ramai anak-anak lepasan tingkatan 5 dan 6 ingin melanjutkan pelajaran ke universiti.
“Namun di Eropah, ramai pelajar yang memilih menceburi diri dalam bidang TVET kerana apabila keluar dari insitusi TVET, mereka mendapat pekerjaan dan gaji lumayan. Itu yang kita promosikan di kalangan belia kita,” katanya di Majlis Perasmian Program Jerayawara Karnival Pendidikan dan Kerjaya Project Of Dream Realized (PRO-DR) 2023 di Hotel Imperial hari ini.
Beliau yang juga Ahli Lembaga Amanah TEGAS mengingatkan kepada para pelajar untuk mempersiapkan diri dengan pendidikan yang terbaik memandangkan persaingan pekerjaan kini semakin hebat.
“Persaingan untuk mendapatkan pekerjaan di luar sana sangat hebat. Bukannya tiada pekerjaan, tetapi peringkat pendidikan bagi pemohon pekerjaan sangat tinggi. Maksudnya semakin hari semakin ramai yang berpendidikan. Jadi persaingan pekerjaan sangat hebat. Jadi semua orang perlu bersiap sedia dapatkan pendidikan terbaik dengan peluang yang diberi,” ujarnya lagi.
Kira-kira 500 pengunjung menghadiri program tersebut yang terdiri daripada pelajar, belia dan penduduk setempat yang ingin mendapat maklumat peluang-peluang pendidikan, latihan dan bantuan pendidikan.
Karnival Pendidikan dan Kerjaya PRO-DR di Miri merupakan lokasi yang ke-11 dan kedua terakhir sebelum melabuhkan tirai program di lokasi terakhir iaitu di Dewan Hotel Sri Malaysia di Lawas pada 18 Ogos setelah hampir 25 hari dilaksanakan. – TVS