KUCHING, 16 Ogos: Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) menerima dua pengiktirafan pada Anugerah Jenama Terbaik BrandLaureate 2022-2023 di Kuala Lumpur, hari ini.
STB menerusi kenyataan media berkata, dua anugerah berkenaan ialah Anugerah Kebanggaan Negara (Kecemerlangan Promosi Pelancongan) dan Anugerah CEO of the Year (Pelancongan) yang diberikan kepada Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sharzede Salleh Askor.
“Anugerah ini sebagai menghargai komitmen serta pelbagai inisiatif dilaksanakan oleh STB bagi meletakkan Sarawak sebagai ikon pelancongan global dan juga destinasi eko pelancongan utama di Asia Tenggara,” jelas kenyataan itu.
STB menambah, pelancongan bertanggungjawab yang menjadi terasnya serta kempen pemasaran Sarawak, More To Discover juga turut menyumbang kepada kejayaan organisasi berkenaan.
Sementara itu, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah memuji pencapaian berkenaan.
“(Ini hasil) komitmen STB dalam mempamerkan keindahan alam semula jadi Sarawak serta dedikasi yang tidak berbelah bahagi kepada amalan pelancongan yang mampan,” katanya menerusi kenyataan sama.
Dalam pada itu, Sharzede berkata, beliau berterima kasih kepada pelbagai pihak yang memberi sokongan padu kepada STB termasuk Kerajaan Sarawak.
“Anugerah ini mencerminkan bimbingan kukuh yang diberikan oleh Kerajaan Sarawak dan visi di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 dan Pelan Induk Pelancongan Sarawak,” katanya.
Anugerah berkenaan dianjurkan oleh The World Brands Foundation (TWBF). -TVS