APABILA bercakap mengenai Santubong, antara tempat menarik yang terlintas di minda penulis semestinya Pantai Damai, Kampung Budaya Sarawak serta keinginan untuk menawan Gunung Santubong yang menjanjikan pemandangan indah.
Kampung Budaya Sarawak pula sudah lama terkenal dalam kalangan pelancong kerana dianggap sebagai ‘muzium hidup’ yang mempamerkan budaya pelbagai kaum di Sarawak.
Namun, tahukah anda Santubong sebenarnya mempunyai banyak lagi tarikan pelancongan yang belum diteroka di sekitar perairannya.Â
Baru – baru ini penulis serta media tempatan dijemput meliputi program Sarawak Product Experience (SPE) anjuran Lembaga Pelancongan Sarawak (STB).
SPE yang merupakan trip sehari itu membawa kami meneroka tempat menarik di sekitar Santubong yang masih kurang dikenali oleh orang luar.Â
Rombongan turut disertai wakil dari Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya, Tourism Malaysia, Jabatan Muzium Sarawak, Sarawak Craft Council dan Sarawak Forestry Corperation.
Seawal pagi, kami menaiki bot pelayaran atau Wildlife River Cruise untuk menyelusuri lautan biru dan menikmati pemandangan indah di sekitar Gunung Santubong hingga ke Jeti Buntal yang mengambil masa sekitar dua jam.Â
Di tengah pelayaran, penulis serta rombongan ‘didatangi’ sekumpulan ikan lumba-lumba spesis Irrawaddy atau dikenali penduduk tempatan sebagai Empesut.
Penulis difahamkan, tidak semua pelancong dapat melihat Empesut berenang – renang di sekitar bot kerana sifatnya yang dikatakan pemalu.
Nampaknya rombongan penulis hari itu cukup bertuah kerana dapat melihat mamalia laut itu dan sudah pasti menjadi pengalaman menarik yang tidak akan dilupakan.
Penulis berharap mereka yang ingin melihat telatah ikan comel itu bolehlah datang ke Santubong, tidak perlu terbang ke luar negara kerana Sarawak juga memiliki tarikan pelancongan berkenaan.
Selain ikan lumba-lumba, perjalanan itu juga sesuai bagi mereka yang menggemari aktiviti melihat burung.
Penulis bukanlah arif mengenai burung namun rombongan diberikan penerangan lengkap oleh pengendali bot.
Menurutnya antara spesies burung yang boleh ditemui di sini termasuklah burung helang tiram atau osprey, pelbagai spesies burung North Asia dan kehadiran spesies burung hijrah.
Apabila sampai di Jeti Buntal, kami dibawa untuk menikmati makan tengah hari di sebuah restoran tempatan yang menyajikan hidangan laut.
Sungguh berselera penulis dan rakan – rakan menikmati ambal masak taucu, udang laut dan ikan.
Ada yang minta nasi tambah kerana masakan yang disajikan enak, segar dan kena dengan selera.
Kami kemudian meneruskan perjalanan ke Buntal Esplanade yang merupakan satu lagi lokasi wajib bagi penggemar aktiviti bird watching.Â
Difahamkan pelbagai spesies burung dapat dilihat di sini terutama pada September dan Oktober.
Selain itu, kami turut berkunjung ke Taman Arkeologi Santubong untuk melihat tapak pemujaan masyarakat Hindu- Buddha pada kurun ke-10 iaitu Bongkissam.
Difahamkan, penganut agama itu akan ke Bongkissam untuk berdoa supaya perjalanan mereka ke lokasi lain dipermudahkan.
Jika anda pecinta sejarah, ini merupakan destinasi baharu yang harus dikunjungi di Santubong.
Sebelum ini keindahan beberapa pantai di Santubong sudah menjadi buah mulut pelancong, maka tidak lengkaplah trip kami jika tidak berhenti sekejap di salah satu pantai di sana.
Bot kami menuju ke pantai di Tanjong Tegok.
Apa yang berbeza di sini ialah pengunjung bukan hanya disambut dengan permandangan indah tetapi boleh juga melihat pembentukan batu semula jadi yang seakan-akan disusun oleh manusia.
Pakej menaiki bot lihat ikan lumba – lumba bakal ditawarkan di Santubong
Bagi penulis, Tanjong Tegok merupakan port untuk mengambil gambar dan melihat keindahan matahari terbenam.
Pasti menarik jika diabadikan di Instagram anda.
‘Time flies when you’re having fun‘ kata orang dan semestinya pengalaman one day trip ini tidak akan penulis lupakan.
Bagi anda yang ingin merasai pengalaman seperti penulis, pakej ini bakal dipromosikan melalui beberapa agensi pelancongan tidak lama lagi.
Untuk maklumat lanjut mengenai lokasi menarik di Sarawak, anda boleh layari laman web rasmi STB di https://sarawaktourism.com. -TVS