KUALA LUMPUR, 16 Ogos: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu dengan beberapa pelabur terkemuka di Putrajaya pada Selasa bagi meneroka peluang pelaburan strategik merentas sektor ekonomi utama.
Menerusi hantaran di laman Facebook, beliau berkata, ia adalah sebagai ikhtiar untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi dan mendukung visi yang terkandung dalam Ekonomi MADANI.
“Kebijakan Ekonomi MADANI adalah sebuah kerangka wahana yang jelas dan komprehensif bagi memungkinkan sebuah tatanan (sistem) ekonomi negara yang mampan dan terangkum sebagai usaha dan upaya kerajaan dalam meningkatkan tahap kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.
“Visi ini menekankan peri penting penyertaan sektor swasta dan pelabur untuk memacu pertumbuhan ekonomi, menggalak daya inovasi dan juga mewujudkan peluang pekerjaan yang berkualiti serta berdampak tinggi,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, perjumpaan itu disertai beberapa pelabur yang berpengaruh di peringkat antarabangsa dan terkenal dengan sumbangan mereka kepada pembangunan ekonomi serta syarikat yang berjaya.
Antaranya pengasas bersama laman Facebook Eduardo Saverin dan Ketua Pegawai Eksekutif Bersama B Capital Raj Ganguly, Pengasas WM Partners Alejandro Weinstein serta Pengasas European Venture Funds Peter Kadas.
Anwar berkata, kehadiran mereka bukan sahaja mempamerkan keyakinan terhadap Kerajaan Perpaduan dan prospek ekonomi negara malah membuktikan Malaysia mempunyai daya tarikan sebagai destinasi pelaburan antarabangsa.
Perdana Menteri berkata, perjumpaan yang pertama seumpama itu membuka peluang untuk beliau dan pelabur terbabit berkongsi pandangan serta meneroka kerjasama bagi mencapai matlamat ekonomi negara.
“Perbincangan turut menyentuh soal peluang bagi meneroka pelaburan dalam sektor utama seperti teknologi dan inovasi, tenaga yang boleh diperbaharui, pembangunan infrastruktur, pelancongan serta hospitaliti, dan pembuatan,” katanya.
Beliau berkata, sesi berkenaan turut berkisar mengenai usaha memupuk persekitaran bagi menggalakkan pelaburan langsung asing, memperkemas peraturan dan proses serta meningkatkan tatakelola selain memastikan kemampanan jangka panjang.
“Pertemuan itu turut menekankan kepentingan tanggungjawab sosial dan pertumbuhan inklusif dengan komitmen untuk mengutamakan inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat tempatan serta menyumbang kepada agenda pembangunan mampan,” katanya.
Perdana Menteri berkata, usaha berterusan kerajaan adalah untuk menyediakan persekitaran mesra pelabur yang memupuk inovasi, melindungi harta intelek serta menggalakkan kerjasama antara sektor awam dan swasta.
“Saya turut membuka ruang untuk para pelabur mengenal pasti peluang pelaburan yang sejajar dengan matlamat strategik di samping memenuhi keperluan masyarakat.
“Ini merupakan asas untuk potensi kerjasama dan pelaburan yang akan memberikan manfaat ekonomi yang besar untuk Malaysia dan rakyatnya,” katanya. – TVS