KUALA LUMPUR, 16 Ogos: Malaysia dan Singapura harus bekerjasama dalam bidang baharu seperti kemampanan, perubahan iklim dan ekonomi digital, melangkaui bidang kerjasama sedia ada, kata Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon.
Menon menegaskan bahawa Memorandum Persefahaman (MOU) yang ditandatangani antara kedua-dua negara semasa lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu pada Januari, memfokuskan kepada ekonomi digital, ekonomi hijau dan keselamatan siber, merupakan permulaan yang positif.
“Singapura juga berminat untuk menyumbang kepada usaha pemuliharaan Malaysia, dan MOU telah ditandatangani antara NParks dan Majlis Biodiversiti Pahang mengenai Kerjasama dalam Pemuliharaan Flora dan Hidupan Liar pada Jun tahun ini,” katanya dalam ucapannya pada majlis sambutan Hari Kebangsaan ke-58 Singapura malam ini.
Majlis diserikan lagi dengan kehadiran Menteri Pengangkutan Anthony Loke. Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching.
Menon berkata agensi Singapura dan Malaysia telah bekerjasama untuk menambah baik aliran keluar masuk rakyat dengan rakyat antara dua negara, termasuk mempercepatkan proses imigresen di pusat pemeriksaan Johor-Singapura.
“Terdapat juga kemajuan yang baik pada Pautan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura, yang dijangka siap pada 2026,” tambahnya.
Menon berkata sambutan Hari Kebangsaan ke-58 Singapura bertemakan “Bersama” menggariskan hubungan rakyat dengan rakyat yang kukuh antara Singapura dan Malaysia dan menekankan bahawa kedua-dua negara akan bekerjasama untuk menangani cabaran masa depan.
“Bersama” adalah penerangan yang tepat tentang hubungan istimewa dan sejarah antara Singapura dan Malaysia, dan bagaimana masa depan kita kekal terikat dengan tidak dapat diubah,” tambahnya.
Majlis itu, dihadiri lebih 1,200 tetamu termasuk warga Singapura dan pegawai-pegawai kerajaan Malaysia, kor diplomatik, dan sektor swasta dan bukan kerajaan. -TVS