KUCHING, 16 Ogos: Kerajaan Sarawak mempelawa lebih ramai lagi pembekal perkhidmatan dan syarikat telekomunikasi membangunkan hab internet serantau di negeri ini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi meyakini inisiatif berkenaan akan mempercepatkan transformasi digital di seluruh Sarawak.
Menurutnya transformasi digital merupakan salah satu daripada komponen penting untuk Sarawak dalam membangunkan enam sektor ekonomi yang telah dikenal pasti untuk membawa Sarawak ke arah status berpendapatan tinggi termasuk rakyatnya sekali menjelang 2030.
“Saya berharap lebih ramai lagi pembekal perkhidmatan yang lain akan menurut dan mengikut langkah yang diambil pihak MAXIS supaya dapat membantu kita mempercepatkan transformasi digital diseluruh Sarawak dalam masa terdekat.
“Transformasi digital merupakan salah satu daripada 7 komponen penting untuk kita menggerakkan pembangunan ekonomi yang telah dirancang oleh Kerajaan Sarawak melalui PCDS 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Hab Internet Sarawak di Pusat Teknikal MAXIS, di sini, pada Rabu.
Dalam pada itu beliau berharap pembinaan hab internet itu akan meliputi seluruh rangkaian jaringan internet dan merapatkan jurang diantara pengguna di bandar dan luar bandar.
“saya berharap ianya dapat meliputi dikawasan pedalaman, di kawasan pesisir selain daripada kawasan bandar.
“Ini kerana kita nak merapatkan jurang diantara penduduk luar bandar dan di bandar.
“Saya berharap hab internet yang diusahakan oleh MAXIS memberi manfaat kepada rakyat diluar bandar,” ujarnya sambil menginginkan kemudahan itu akan membantu meningkatkan kelajuan internet serta perubahan ketara terhadap kependaman internet terutamanya penstriman video dan permainan mudah alih di negeri itu.
Tegasnya kesalinghubungan yang lebih cekap dan pantas dalam memastikan pembangunan digital di Sarawak dapat dipercepat seterusnya menggalakkan lebih banyak inovasi yang boleh dimanfaat dalam bidang keusahawan, pendidikan dan sebagainya. -TVS