KUALA LUMPUR, 16 Ogos: Pemanah elit wanita negara Fatin Nurfatehah Mat Salleh mencipta sensasi di Piala Dunia Memanah 2023 Peringkat 4 apabila memperbaharui rekod kebangsaan acara compound individu wanita di Paris hari ini.
Menurut https://info.worldarchery.org, atlet berusia 32 tahun itu mengumpul keseluruhan 704 mata selepas 72 panahan pada pusingan kelayakan, bagi penentuan ranking dan sekali gus memadam rekod lama 701 mata yang dicatatkan di Piala Dunia 2023 Peringkat 1 di Turki pada April.
Pemenang pingat emas Piala Dunia Memanah 2015 Peringkat 1 yang menduduki tangga ketujuh dalam kejohanan itu, dijadual bertemu pencabar daripada Hong Kong Ho Yan Tsang, pada saingan pusingan pertama esok.
Dalam pada itu, bagi acara compound individu lelaki, pemanah berpengalaman negara Mohd Juwaidi Mazuki mencatat 707 mata keseluruhan selepas 72 panahan di pusingan kelayakan, bagi penentuan ranking dan akan bertemu pemanah Indonesia Rajat Chauhan di pusingan pertama.
Acara compound campuran pula menyaksikan Fatin Nurfatehah-Mohd Juwaidi merakam 1411 mata keseluruhan dalam pusingan kelayakan dan layak ke pusingan penyingkiran 1/8. -TVS