SIBU, 15 Ogos: Keyakinan terhadap kebolehan sendiri mendorong pemain biola dari Sibu, Imran Azim Iskandar melakar kejayaan sekali gus dinobatkan juara dunia pada Kejohanan Seni Persembahan Dunia (WCOPA) di California, Amerika Syarikat, baru-baru ini,
Meskipun berdepan dengan pihak lawan yang datangnya daripada pelbagai pelosok duni, Imran mengakui situasi itu bukan suatu perkara yang mudah namun berkat sokongan tidak berbelah bahagi daripada keluarga, guru dan rakannya remaja berusia 17 tahun ini berjaya merangkul kemenangan.
Bercakap mengenai cabaran, Imran mendedahkan dirinya sempat terintimidasi dengan peserta mahir dari negara lain yang memancarkan profesionalisme dan bakat luar biasa.
“Saya terintimidasi dengan peserta mahir dari negara lain, tetapi sebaik sahaja saya naik ke pentas dan saya benar-benar merasakan bahawa saya boleh melakukan ini. Saya dapat membiasakan diri dengan pentas.
“Jadi, ia satu pengalaman yang sangat hebat buat saya dapat mengenali ramai orang yang berbakat,” katanya ketika ditemui media selepas menyambut ketibaan Imran di Lapangan Terbang Sibu pada Isnin.
Dalam pada itu, Imran turut menasihatkan kepada individu yang bercita-cita untuk melibatkan diri dalam bidang itu agar terus berusaha tanpa jemu serta menghormati dan mendengar nasihat daripada ibu bapa dan guru.
Manakala, bapa kepada Imran, Iskandar Bujang, melahirkan rasa teruja dengan pencapaian cemerlang anaknya itu kerana bukan mudah bagi anaknya yang ketika ini pelajar tingkatan 5 membahagikan masa antara berlatih bermain biola dan belajar.
“Anak saya, Imran kini berada dalam tingkatan 5, jadi masa untuk berlatih sangatlah terhad. Imran cuma berlatih pada hujung minggu di studio dan pada sebelah malam dalam 30 minit sahaja,” katanya.
Ketibaan Imran telah disambut meriah oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng Jin Ek, guru-guru, keluarga dan rakan-rakanya bersama sepanduk dan bendera Malaysia dan Sarawak diiringi paluan kompang.
Pada kejohanan bertaraf dunia tersebut Imran turut meraih pingat perak dalam kategori karya kontemporari dan asli serta pingat gangsa untuk kategori jazz dan terbuka. -TVS