MUKAH, 15 Ogos: Kerajaan Sarawak giat menyemai terumbu karang bagi tujuan komersial melalui fasa kedua projek penanaman tukun tiruan di perairan Sarawak.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, kejayaan projek penanaman tukun tiruan fasa satu yang memberi impak positif terhadap ekosistem marin dan meningkatkan pendapatan komuniti nelayan mendorong kerajaan untuk meneruskan kesinambungannya.
Bagaimanapun jelasnya, pelaksanaan fasa kedua agak berbeza apabila lebih tertumpu kepada penanaman terumbu karang untuk jualan ke peringkat antarabangsa.
“Fasa kedua ini, kita akan menanamkan tukun pada jarak kira-kira lima hingga 10 kilometer (km) dari tukun fasa satu.
“Kita akan menanam terumbu karang untuk diperdagangkan (kerana) terumbu karang yang asli tidak boleh dimanfaatkan untuk tujuan itu. Projek yang melibatkan penanaman terumbu karang di luar kawasan fasa satu bakal memberi impak positif kepada nelayan,” katanya kepada pemberita di Tanjung Manis, semalam.
Dalam pada itu, bebola tukun tiruan di perairan Sarawak sebelum ini, diiktiraf sebagai yang terpanjang di dunia dan menerima sijil pencapaian daripada Yayasan Bebola Tukun Amerika Syarikat.
Pencapaian itu disifatkan Len sekali gus membuktikan komitmen tinggi kerajaan sarawak terhadap kelestarian alam sekitar dan pemuliharaan sumber asli.
“Projek ini juga hanya melibatkan kawasan tertentu sahaja dan bukan keseluruhan dari Tanjung Datu ke Lawas. Kita juga akan menilai segi kualiti air yang akan mempengaruhi perkembangan projek ini,” katanya.
Pada Ahad lalu, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg meluangkan masa meninjau perkembangan projek berkenaan sebelum mengumumkan peruntukan tambahan RM30 juta untuk pelaksanaannya bagi fasa kedua.- TVS