KUCHING, 15 Ogos: Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) disaran untuk meneroka hasil keluaran kayu daripada sumber yang boleh diperbaharui, sebagai alternatif untuk pemain industri perkayuan mesra alam sekitar.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Malaysia diperakui sebagai negara pembekal kayu berkualiti, khususnya Sarawak yang perlu memenuhi kehendak pasaran global yang mementingkan amalan lestari perhutanan.
“Kita peruntukkan kawasan tertentu menjadi hutan yang kita tanam untuk dijadikan sebagai feedstock/stok suapan (dalam penghasilan) hiliran produk kayu kita.
“Apabila kita mengeksport produk hiliran kepada pembeli seperti Jepun dan China, mereka perlu mematuhi syarat berdasarkan ESG yang dikenakan oleh pihak bank.
“Maka selain pembeli, pembekal seperti kita juga perlu mematuhi perkara tersebut, maka, terdapat rantaian nilai,” katanya pada Makan Malam Jubli Emas ke-50 PUSAKA di BCCK, pada Khamis.
Oleh itu, beliau menggesa PUSAKA menjalin kerjasama dengan Jabatan Tanah dan Survei serta Jabatan Pertanian dan Jabatan Perhutanan Sarawak dalam melaksanakan penyelidikan dan pembangunan stok suapan sedemikian.
Tegas beliau Sarawak perlu memiliki pendekatan berstruktur dalam industri perkayuan dengan menggabungkan teknologi dan kajian tentang struktur tanah.
“Semua (yang terlibat) perlu memainkan peranan menggerakkan setiap aspek dalam industri agar dapat menghasilkan produk yang mampan dan selaras dengan kehendak antarabangsa,” katanya.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata antara komponen penting dalam menghasilkan stok suapan yang boleh diperbaharui ialah spesis pokok yang memiliki kadar pertumbuhan tinggi serta kualiti tanah berkenaan.
Beliau turut memberi cadangan agar PUSAKA mengkaji beberapa spesis pokok yang boleh dijadikan sebagai produk berasaskan kayu seperti pokok getah, pokok buluh, acacia, Sentang dan Paulownia.
“Malaysia memiliki kepakaran dalam industri getah, mungkin kita boleh menghasilkan kacukan baharu yang boleh tumbuh dengan cepat, bersesuaian dengan tanah kita.
“Antara lain ialah pokok asli Sentang. Saya difahamkan sangat sesuai untuk dijadikan sebagai perabot,” katanya.
Hadir sama, isteri Abang Johari, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Setiausaha Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Pengurus Besar PUSAKA, Zainal Abidin Abdullah.
Di bawah merupakan pemenang anugerah-anugerah Jubli Emas PUSAKA:
T-Mega Excellent Performance Company – Berjaya Dockyard
Excellent Performance Subsidiary – Tanjung Manis Resources
Excellent Bumiputera Furniture Entrepeneur – Saadiah Indah
High Performance Timber Contractor (Natural Forest) – Solid Hartabina
Most Productive License Planted Forest (LPF) – Sarawak Planted
Excellent Wood Panel Producer – Shin Yang Group of Companies (Wood Based Division)
Most Diversified and Value-Adding Timber Manufacturer – Samling Group of Companies