SIBU, 15 Ogos: Seorang kakitangan kerajaan kerugian RM37,000 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket ‘Phone Scam’ yang menyamar sebagai pihak dari Jabatan Komunikasi dan Multimedia.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkata, wanita tempatan berusia 30-an itu menerima panggilan daripada seorang individu tidak dikenali yang menyamar pihak Jabatan Komunikasi dan Multimedia pada 22 Julai lalu.
Katanya, suspek memberitahu nombor telefon mangsa telah tersebar dan terlibat dengan sindiket perjudian serta pelaburan palsu di negeri Perak.
“Perbualan telefon itu kemudian disambungkan kepada pihak menyamar sebagai polis dengan memperkenalkan diri sebagai ‘Sarjan Danial Lau’ dari IPK Perak.
“Suspek mengatakan akaun mangsa terlibat dengan penipuan yang melibatkan kerugian dalam anggaran berjuta dan sekiranya mangsa mahu menyelesaikan kes, mangsa dikehendaki membuat bayaran segera,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa yang ketakutan seterusnya terjerat dan menurut semua arahan yang diberikan oleh suspek.
“Dari tempoh 1 hingga 7 Ogos 2023 mangsa telah membuat pemindahan wang melalui tiga transaksi berjumlah RM37,300 ke dalam tiga akaun bank tempatan yang tidak
diketahui. Mangsa kemudian menyedari telah diperdayakan selepas mendapati panggilannya telah disekat,” katanya.
Zulkipli berkata, mangsa telah membuat laporan polis di balai polis berhampiran semalam.
“Kes kini disiasat Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, IPD Sibu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” tambah beliau. – TVS