KUCHING, 15 Ogos: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sarawak menggantung sementara pengeluaran permit import ternakan lembu dan kerbau dari Australia susulan pengesanan Penyakit Kulit Berketul (LSD) haiwan berkenaan.
Pengarahnya, Dr Adrian Susian Ambud berkata, ia berkuat kuasa serta-merta sehingga penularan wabak tersebut dipastikan terkawal.
“Jadi kita tidak akan mengeluarkan import permit dari Australia sehinggalah isu berkenaan penyakit LSD ini selesai.
“Bagaimanapun kita ada konsainan yang akan tiba 24 Ogos tahun ini dan kita akan periksa lembu tersebut di mana kita akan ambil sampel dan kuarantin 30 hari… sekiranya lembu ini bebas daripada LSD kita boleh lepaskan untuk diagihkan kepada penternak kita,” katanya semasa ditemui pemberita di sini hari ini.
Khamis lalu media Autralia telah melaporkan penyekatan sementara import lembu serta kerbau oleh Malaysia dan Indonesia susulan pengesanan LSD dalam kalangan ternakan import terbabit.
Bagaimanapun, Australia tidak mengatakan jumlah eksport yang terjejas susulan keputusan Malaysia itu.
Pada masa sama, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD), Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom memberi jaminam sekatan import itu tidak menjejaskan bekalan daging di negeri ini.
“Tidak, ia tak akan mengganggu bekalan kita,” jawabnya ringkas ketika ditanya sama ada Sarawak menjangkakan kekurangan bekalan daging dalam masa terdekat.
Tegasnya, adalah sangat penting untuk menjaga ketat dalam aspek pematuhan prosedur dalam mengendalikan haiwan ternakan.
“Seumpamanya Demam Babi Afrika (ASF) juga.. ini semua mengenai keselamatan bio.. oleh itu adalah penting untuk kita mendidik petani yang terlibat dalam bidang pertanian bahawa ia bukan hanya menanam atau menternak, tetapi bagaimana untuk mengekalkan (produk pertanian),” katanya lagi. – TVS