KUCHING, 15 Ogos: Festival Kreativiti dan Inovasi Islam (FesKII) 2023 bakal menampilkan angkasawan pertama negara, Dato Dr Sheikh Muszaphar Shukor sebagai penceramah jemputan pada 17 Ogos ini.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi yang juga bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam memaklumkan, seramai 1,500 pengunjung dijangka hadir memeriahkan festival tersebut.
“Sheikh Muszaphar akan menyampaikan syarahan umum bertajuk My Journey to Space. Ceramah akan diadakan Khamis ini pada 8.15 malam di Auditorium Pusat Penerangan Islam (IIC) dan dibuka kepada orang awam,” katanya pada sidang media FesKII 2023 di sini, hari ini.
Sementara itu, mengulas lanjut mengenai ceramah umum, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penerangan Islam (IIC), Dr Asmah Othman berkata, meskipun Auditorium IIC mampu menempatkan sehingga 500 orang, siaran langsung ceramah juga akan diadakan di pekarangan auditorium.
“Jadi kita anggarkan 600 orang hadir di pekarangan IIC bermula 17 hingga 20 Ogos. Kita mengalu-alukan kehadiran masyarakat umum tak kira 1,000 atau 2,000 orang, mereka dialukan untuk datang,” katanya.
Majlis perasmian FesKII 2023 akan disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, jam 10 pagi Khamis ini di IIC.
Antara program lain yang akan dilaksanakan ialah simulasi haji, sukan memanah, pameran artifak falak dan teleskop, forum dan ceramah daripada penceramah luar negara serta gerai makanan Mu’amalah.
Penganjuran festival ini bertujuan menerapkan nilai kreativiti dan inovasi dalam kalangan generasi muda, selain mengetengah kepelbagaian dan kegemilangan seni Islam di nusantara dan serantau.
Bertemakan The Beauty of Islam, FesKII 2023 akan dianjurkan selama empat hari bermula 17 hingga 20 Ogos ini.
Penganjuran program ini adalah bersempena sambutan ulang tahun ke-15 Pusat Penerangan Islam – Majlis Islam Sarawak (IIC) sejak penubuhannya pada 2008. -TVS