Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika sidang media di Wisma Bapa Malaysia, Kuching, pagi ini. Foto: Ahmad Nasrullah (TVS)

Tan Sri Sulong Matjeraie ketuai ahli Lembaga Penjaga Dana Kekayaan Berdaulat Sarawak

ByIzzah Kamilah Yunus

KUCHING, 14 Ogos: Bekas hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Sulong Matjeraie dilantik mengetuai Lembaga Penjaga Dana Kekayaan Berdaulat Sarawak (SSWF).

Beliau yang kini merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) juga pernah berkhidmat dengan Kerajaan Sarawak selama 17 tahun.

Pada sidang media di sini, hari ini, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut mengumumkan pelantikan lapan ahli lembaga berkenaan.

Lapan lagi yang dilantik ialah Tan Sri Datuk Amar Leonard Linggi Jugah, Tan Sri Ahmad Nizam Salleh, Datuk Iain John Lo, Grainne Dooley, Mohsen Fahmi, Datu Soedirman Aini, Dato Sri Talat Mahmood Abd Rashid dan Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar.

Leonard Linggi merupakan Pengerusi Limar Group dan aktif dalam yayasan amal dan khidmat masyarakat yang boleh dilihat menerusi tanggungjawab beliau sebagai pengerusi dan pemegang amanah urusan Yayasan Tun Jugah dan Yayasan Kebudayaan Dayak.

Manakala, mantan Pengerusi Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS), Tan Sri Nizam Salleh berkhidmat dengan PETRONAS dalam pelbagai jawatan selama 37 tahun dan selepas penglibatannya sebagai pengerusi syarikat itu dari 2018 hingga 2021, beliau kini merupakan Pengerusi Kumpulan Syarikat Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan Pengerusi Pelaburan Hartanah Berhad.

Mantan Pengerusi Shell Malaysia Ltd. dengan pengalaman dan peranan yang luas selama lebih 30 tahun dalam perniagaan Shell di Malaysia dan di luar negara, Datuk Iain Lo kini merupakan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif RHB Bank Berhad, RHB Investment Bank Berhad dan Digi Telecommunication.

Satu-satunya wanita dalam lembaga pengarah SSWF, Grainne Dooley mempunyai pengalaman penting dalam pelaburan dan pengurusan dana serta berkelayakan dalam tadbir urus korporat dan mempunyai pengetahuan luas dalam hal kewangan.

Mohsen Fahmi merupakan Ahli Jawatankuasa Pacific Investment Management Company LLC (PIMCO) Amerika Syarikat yang telah menghabiskan sebahagian besar kerjayanya di Amerika Syarikat dan United Kingdom dan juga ahli Jawatankuasa Penasihat Pelaburan untuk Yayasan Amal.

Datu Soedirman Aini yang kini merupakan Pengarah Permodalan Nasional Berhad, berpengalaman 24 tahun berkhidmat dengan Kerajaan Sarawak dan PETRONAS 13 tahun.

Dua lagi ahli lembaga terdiri daripada Peguam Besar Negeri Sarawak, Dato Sri Talat Mahmood Rashid dan Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar.

Abang Johari berkata pelantikan itu telah diluluskan oleh Kabinet Sarawak pada 27 Julai dan tempoh perkhidmatan mereka adalah untuk tempoh tiga tahun, dana itu akan beroperasi berkuat kuasa 1 Januari tahun depan.

“Saya percaya pengalaman yang pelbagai dan luas serta kelayakan kukuh daripada golongan profesional terbilang ini sangat bernilai tinggi dan memberi kelebihan besar kepada Lembaga Penjaga Urus Dana Kekayaan Berdaulat Sarawak dalam mencapai objektifnya,” katanya.

Pada 22 November tahun lepas, Dewan Undangan Negeri Sarawak sebulat suara meluluskan Rang Undang-undang Lembaga Penjaga Urus Dana Kekayaan Berdaulat Sarawak 2022 dengan peruntukan awal sebanyak RM8 bilion. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan